3 maut, 113 lagi hilang akibat tanah runtuh di Jepun

3 maut, 113 lagi hilang akibat tanah runtuh di Jepun

Menurut agensi berita, mangsa ketiga yang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh adalah seorang wanita.

Pasukan menyelamat mencari mangsa terselamat di tapak berlakunya tanah runtuh di Atami, Jepun hari ini. (Gambar AP)
TOKYO:
Sekurang-kurangnya tiga ditemui mati dan lebih 100 hilang selepas hujan lebat mencetuskan tanah runtuh di bandar Atami, Jepun pada hujung minggu, menurut seorang pegawai dan media tempatan hari ini.

Seorang disahkan meninggal dunia, menjadikan bilangan korban kepada tiga dengan 113 orang masih hilang di bandar pesisir pantai Atami yang terletak 90km barat daya Tokyo, kata jurucakap Hiroki Onuma kepada Reuters selepas kejadian itu berlaku pada Sabtu.

Mangsa ketiga yang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh adalah seorang wanita, kata agensi berita Kyodo.

Hujan lebat dan tanah runtuh adalah peringatan akan bencana alam – termasuk gempa bumi, letusan gunung berapi dan tsunami – yang menghantui Jepun, di mana ibu kota Tokyo akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik mulai bulan ini.

Tanah runtuh yang memberi kesan terhadap kira-kira 130 bangunan, berlaku kira-kira 10.30 pagi Sabtu di Atami, yang merupakan tempat peranginan air panas dan terletak di lereng curam menghala ke teluk.

Air, lumpur dan serpihan dijangka akan mengalir di sepanjang sungai sejauh kira-kira 2km ke laut, kata media tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.