Di kedudukan Tier 2, Thailand kecewa dengan laporan pemerdagangan manusia 2021

Di kedudukan Tier 2, Thailand kecewa dengan laporan pemerdagangan manusia 2021

Thailand kecewa dengan laporan itu kerana ia tidak mencerminkan usaha dan kemajuan sebenar yang dicapai Bangkok dalam memerangi pemerdagangan manusia.

Menurut Laporan Tahunan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2021, kerajaan Thailand tidak menunjukkan peningkatan secara keseluruhan berbanding sebelum ini, walaupun selepas mempertimbangkan impak pandemik Covid-19 terhadap kemampuan antipemerdagangan. (Gambar AP)
BANGKOK:
Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menurunkan kedudukan Thailand ke “Tier 2” dalam Laporan Tahunan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2021, yang dikeluarkan pada Khamis.

Thailand kecewa dengan laporan itu kerana ia tidak mencerminkan usaha dan kemajuan sebenar yang dicapai Bangkok dalam memerangi pemerdagangan manusia.

Laporan TIP 2021 mendapati ramai mangsa pemerdagangan manusia dipaksa menjadi hamba seks dan buruh paksa dalam industri perikanan dan pertanian.

Menurut laporan itu, kerajaan Thailand tidak menunjukkan peningkatan secara keseluruhan berbanding sebelum ini, walaupun selepas mempertimbangkan impak pandemik Covid-19 terhadap kemampuan antipemerdagangan di negara itu.

Kementerian Luar Thailand menyatakan Laporan TIP, memperlihatkan AS secara sepihak membuat penilaian dari sudut pandang sendiri dan sama sekali tidak mewakili standard antarabangsa.

Jelas kementerian, kerajaan Thailand telah mengambil beberapa langkah untuk melindungi dan mencegah rakyat dan warga asing daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

“Semua langkah yang diambil Thailand adalah untuk kesejahteraan rakyat, meningkatkan standard melindungi dan mencegah rakyat tempatan dan warga asing di Thailand, termasuk pekerja migran.

“Thailand sentiasa siap sedia untuk meningkatkan kerjasama dengan negara rakan secara konstruktif, baik di dalam mahupun luar negara, untuk bersama membasmi pemerdagangan manusia dan buruh paksa dalam jua bentuk,” kata kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.