
Aquino yang memimpin negara itu dari 2010 hingga 2016, ialah satu-satunya anak lelaki kepada mendiang bekas presiden, Corazon Aquino dan suaminya, senator Benigno “Ninoy” Aquino, kedua-duanya dihormati kerana menerajui perjuangan mengembalikan demokrasi di Filipina.
Media tempatan melaporkan Aquino dikejarkan ke Pusat Perubatan Capitol di Manila awal pagi tadi.
Keluarganya dijangka mengeluarkan kenyataan kemudian.
Setiausaha Luar Filipina, Teodoro Locsin menerusi Twitter menyifatkan Aquino “berani ketika berdepan serangan bersenjata, cedera dalam tembak-menembak, mudah menyesuaikan diri kepada kuasa dan perangkapnya, serta memerintah negara kita dengan kedinginan membingungkan kerana beliau menyembunyikan perasaannya dengan baik sehingga dianggap tidak mempunyai perasaan”.
Hakim Mahkamah Agung, Marvic Leonen, yang merupakan bekas penasihat keamanan Aquino, sedih dengan pemergian bekas pemimpin itu.
“Saya mengenalinya sebagai orang yang baik hati, didorong semangatnya untuk berkhidmat kepada rakyat, rajin menunaikan tanggungjawabnya, dan dengan perasaan ingin tahu mengenai pengetahuan baru dan dunia secara amnya.”
Aquino, yang digantikan Presiden Rodrigo Duterte, memulakan kempen antirasuah ketika pemerintahannya yang membawa kepada pembaharuan ekonomi utama.