Maksimum 10,000 penonton dibenarkan di lokasi acara Tokyo 2020

Maksimum 10,000 penonton dibenarkan di lokasi acara Tokyo 2020

Penonton dihadkan pada 50% kapasiti lokasi, dengan maksimum sehingga 10,000 orang, selain sorakan juga tidak dibenarkan.

Penganjur Tokyo 2020 berkata, had penonton di lokasi acara adalah pada 50% kapasiti, dengan maksimum sehingga 10,000 orang. (Gambar AP)
TOKYO:
Sehingga 10,000 penonton tempatan akan dibenarkan di lokasi-lokasi acara Tokyo 2020, kata penganjur Olimpik hari ini dalam keputusan dilihat mengetepikan cadangan pakar kesihatan yang mencadangkan supaya penyokong tidak dibenarkan menghadiri.

Pengumuman itu mengakhiri spekulasi sejak berbulan-bulan lalu, selain menunjukkan keazaman Jepun untuk terus mengadakan acara sukan berbilion dolar itu walaupun mendapat tentangan awam dan kebimbangan penularan baharu jangkitan.

Ia sesuatu yang dilihat telah dijangka susulan beberapa kenyataan dikeluarkan oleh penganjur, malah pakar kesihatan kerajaan minggu lalu turut nampak pasrah acara itu akan diteruskan dengan kehadiran penyokong.

Jepun setakat ini berjaya mengelak penularan besar-besaran seperti dilihat di negara lain, namun proses suntikan vaksin di negara itu agak lembap pada awalnya, malah sistem perubatan juga hampir terjejas teruk di beberapa tempat.

Had penonton untuk Sukan Olimpik yang dijadualkan bermula pada 23 Julai “adalah pada 50% kapasiti lokasi, dengan maksimum sehingga 10,000 orang”, kata penganjurnya dalam satu kenyataan.

Namun sorakan mungkin kurang kedengaran kerana menjerit tidak dibenarkan. Penganjur juga berkata pelitup muka mesti dipakai dan penonton perlu terus pulang ke rumah dari lokasi acara.

Pengunjung dari luar negara tidak dibenarkan, namun rangkaian televisyen akan memastikan siaran langsung acara sukan itu di seluruh dunia.

Penganjur masih mempertimbangkan sama ada minuman beralkohol akan dibenarkan untuk dihidangkan di lokasi acara, kata Presiden Tokyo 2020 Seiko Hashimoto.

Beberapa pakar kesihatan utama negara itu sebelum ini menyuarakan pandangan penonton tidak patut dibenarkan.

Kira-kira 65% orang awam mahu acara sukan itu ditangguhkan lagi, atau dibatalkan terus, menurut Asahi News Network.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.