2 disyaki militan terbunuh di Pattani

2 disyaki militan terbunuh di Pattani

Pihak berkuasa turut menemui dua pistol dan bom tangan di tempat kejadian.

Komander Pasukan Petugas Pattani Jeneral Komkrit Rattanachaya berkata pasukan keselamatan mengesan lelaki itu sedang bersembunyi di sebuah resort di Daerah Yaring, Pattani. (Gambar AP)
PATTANI:
Dua lelaki, yang disyaki anggota militan, terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di Pattani, selatan Thailand, hari ini.

Komander Pasukan Petugas Pattani Jeneral Komkrit Rattanachaya berkata pasukan keselamatan bertindak berdasarkan maklumat dan mengesan kedua-dua lelaki itu sedang bersembunyi di sebuah resort di Daerah Yaring, Pattani.

“Ketika pasukan keselamatan tiba di lokasi sekitar jam 3 pagi (waktu tempatan), dua lelaki yang berada di dalam bilik itu mulai melepaskan tembakan.

“Berlaku beberapa siri tembakan antara dua suspek dan pasukan keselamatan. Pasukan keselamatan, melalui ‘imam’ dan pemimpin tempatan, cuba memujuk suspek untuk menyerah diri, tetapi gagal.

“Kejadian tembakan berlarutan sehingga jam 10 pagi. Sebaik keadaan kembali tenang, pasukan keselamatan menemui dua mayat di resort tersebut,” katanya kepada media ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dia berkata kedua-dua lelaki berusia 29 dan 32 tahun itu, mempunyai beberapa waran tangkap yang pernah dikeluarkan atas nama mereka.

“Kami juga menemui dua pistol dan bom tangan di tempat kejadian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.