
Monumen kurun ke-17 dibina Maharaja Shah Jahan di Agra, utara negara itu, ditutup pada awal April selepas India memperkenalkan langkah kawalan pergerakan tegas dalam usaha mengekang lonjakan wabak Covid-19 yang kini masih membunuh ribuan orang setiap hari.
Hanya 650 pelancong akan dibenarkan di premis Taj Mahal pada satu-satu masa, kata Majistret Daerah Agra Prabhu Singh.
Monumen marmar itu lazimnya menarik 7 juta hingga 8 juta pelancong setahun, atau purata lebih 20,000 pelawat sehari.
Negeri Uttar Pradesh di mana Agra terletak melaporkan 270 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam dan 56 kematian. Ia antara negeri paling banyak bilangan jangkitan Covid-19.
Monumen terkenal lain seperti Kubu Merah dan Qutub Minar di New Delhi juga dibuka semula untuk pelancong pada Rabu, walaupun tetap wujud kebimbangan dengan perhimpunan orang ramai di bandar-bandar utama yang mengancam mencetuskan lonjakan penularan sekali lagi.
Media India melaporkan kesesakan lalu lintas dan lonjakan bilangan pelancong minggu ini di Shimla yang terkenal kerana pemandangan indah Himalaya, seterusnya mencetuskan kebimbangan virus menular lagi.