Lonjakan jangkitan Covid, St Petersburg ketatkan peraturan

Lonjakan jangkitan Covid, St Petersburg ketatkan peraturan

Bandar itu yang kedua paling teruk terjejas akibat wabak selepas Moscow, dijangka menerima ribuan peminat dari sekitar Eropah.

Perlawanan Russia-Belgium diadakan di Stadium St Petersburg pada Sabtu. (Gambar AP)
ST PETERSBURG:
Pihak berkuasa di St Petersburg, di mana beberapa siri perlawanan Euro 2020 diadakan, hari ini memperketat peraturan pergerakan susulan lonjakan baharu jangkitan Covid-19.

Bandar itu yang kedua paling teruk terjejas akibat wabak selepas Moscow, dijangka menerima ribuan peminat dari sekitar Eropah sempena perlawanan itu.

Pihak berkuasa sebelum ini berkata semua langkah wajar akan diambil untuk melindungi pemain dan peminat sepanjang acara bola sepak terbesar benua itu.

Mulai Khamis, medan selera dan kawasan permainan kanak-kanak di pusat beli-belah di bandar kedua terbesar Russia itu akan ditutup.

Makanan juga tidak akan dijual di zon peminat Euro-2020, kata pihak berkuasa dalam kenyataan hari ini.

Pawagam yang sebelum ini boleh beroperasi pada kapasiti 75% kini hanya 50% manakala restoran ditutup antara jam 2 hingga 6 pagi.

“Mereka yang menghadiri acara awam termasuk di tempat terbuka mesti memakai pelitup muka,” kata pihak berkuasa.

Ramai rakyat Russia enggan memakai pelitup muka ketika menggunakan perkhidmatan awam atau di tempat umum.

Jangkitan virus korona sekali lagi melonjak di Russia dalam pada kempen vaksinasi negara itu tergendala.

Pada hujung minggu lalu pihak berkuasa di Moscow mengumumkan ‘minggu tiada kerja’ di ibu negara berkenaan dengan pekerja dari industri bukan perlu diarahkan kekal di rumah.

Tujuh perlawanan akan diadakan pada Jun dan Julai di St Petersburg termasuk suku akhir selepas acara itu ditangguhkan setahun akibat wabak.

Euro-2020 bermula pada Jumaat lalu dan dijadualkan tamat pada 11 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.