Thailand benar hospital swasta, PBT dapatkan vaksin Covid-19

Thailand benar hospital swasta, PBT dapatkan vaksin Covid-19

Ia merangkumi Institut Vaksin Nasional, Pertubuhan Farmasi Kerajaan (GPO) dan Persatuan Palang Merah Thailand.

Pada Isnin, Thailand telah melancarkan kempen vaksinasi Covid-19 besar-besaran, bertujuan memvaksin 70% daripada hampir 70 juta penduduknya pada akhir tahun untuk mencapai kekebalan kelompok. (Gambar AP)
BANGKOK:
Bagi mempercepatkan kempen vaksinnya, Thailand kini membenarkan hospital swasta dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mendapatkan sendiri vaksin Covid-19 melalui agensi yang telah ditetapkan.

Timbalan jurucakap Kementerian Luar Natapanu Nopakun berkata, agensi yang ditetapkan oleh Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) merangkumi Institut Vaksin Nasional, Pertubuhan Farmasi Kerajaan (GPO) dan Persatuan Palang Merah Thailand.

“Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Thailand (FDA) telah diarahkan untuk mempermudah permohonan pendaftaran vaksin dengan pengeluar bagi memastikan proses perolehan berjalan lancar dan berkesan.

“Semua agensi kerajaan dan swasta telah diminta untuk menyelaraskan maklumat bertujuan memastikan pemerolehan dan pengumpulan maklumat yang sistematik,” katanya, semalam.

Pada Isnin, Thailand telah melancarkan kempen vaksinasi Covid-19 besar-besaran, bertujuan memvaksin 70% daripada hampir 70 juta penduduknya pada akhir tahun untuk mencapai kekebalan kelompok.

Setakat semalam, Thailand mencatat 2,680 kes Covid-19 baharu termasuk 280 banduan, dan 35 kematian. Setakat ini, jumlah keseluruhan jangkitan negara adalah 185,228 kes dan 1,332 kematian.

Daripada kes baharu, 2,669 adalah jangkitan tempatan dan 11 kes import, termasuk tiga yang tiba dari Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.