Mahkamah bebas awal wanita dihukum penjara 30 tahun atas kematian bayi dalam kandungan

Mahkamah bebas awal wanita dihukum penjara 30 tahun atas kematian bayi dalam kandungan

Mahkamah di El Salvador membuat keputusan ini susulan rayuan pengampunan oleh pihak pembelaan Sara Rogel.

Sara Rogel ditangkap pada Oktober 2012 selepas dia pergi ke hospital kerana mengalami pendarahan yang dakwanya akibat jatuh di rumah. (Gambar Freepik)
SAN SALVADOR:
Sebuah mahkamah di El Salvador memerintahkan pembebasan seorang wanita muda yang dijatuhkan hukuman 30 tahun penjara atas tuduhan membunuh susulan kematian anak dalam kandungannya pada 2012.

Sara Rogel ditangkap pada Oktober 2012 selepas dia pergi ke hospital kerana mengalami pendarahan yang dakwanya akibat jatuh di rumah.

Rogel, yang ketika itu berusia 22 tahun, didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman atas tuduhan membunuh bayi perempuan dalam kandungannya.

Undang-undang Salvador merangkumi antara larangan terketat di dunia berhubung pengguguran kandungan, kecuali membabitkan rogol, sumbang mahram, atau apabila nyawa ibu terancam.

Lebih lapan tahun setelah Rogel dipenjara, hakim di penjara Cojutepeque di timur El Salvador mengurniakan pembebasan awal selepas menerima rayuan pengampunan daripada peguam Rogel, kata Ulises Marinero, ketua jurucakap mahkamah.

Bagaimanapun, Rogel akan kekal berada dalam tahanan kerana pihak pendakwaan masih mempunyai tempoh lima hari untuk merayu keputusan tersebut.

“Kami rasa keputusan ini sangat memuaskan hasil usaha kami cuba mendapatkan pembebasan bagi wanita-wanita yang didakwa atas tuduhan jenayah kerana mengalami kecemasan obstetrik, seperti Sara,” kata peguam belanya, Abigail Cortex.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.