
Rozina Islam, 42, seorang wartawan penyiasat untuk harian Prothom Alo Bengali terbesar di negara itu, ditahan polis Isnin lalu di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Dia kemudian didakwa mencuri dokumen kementerian kesihatan.
Islam kemudian dibebaskan selepas membayar jaminan 5,000 taka (AS$60) dan diperintah menyerahkan pasportnya oleh ketua hakim metropolitan ibu kota Dhaka, kata peguamnya kepada wartawan.
Penyerahan pasport adalah untuk menghalangnya meninggalkan negara ini, katanya.
Islam disambut keluarga dan rakan wartawan ketika dia dibebaskan dari penjara wanita di pinggir Dhaka.
“Saya akan meneruskan kerja kewartawanan saya. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua termasuk rakan wartawan yang sentiasa menyokong saya,” katanya kepada wartawan sebelum pergi ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.
Abangnya Mohammad Selim memberitahu AFP Islam tidak sihat sebelum dia ditahan. Tidak dinyatakan mengapa Islam sakit.
Kesatuan wartawan dan kumpulan penyokong berkata Islam ditahan kerana laporannya, termasuk dakwaan bahawa peralatan perubatan yang sangat diperlukan terbiar di lapangan terbang Dhaka selama berbulan-bulan, dan rasuah ditawarkan untuk merekrut doktor.
Sebelum ditahan secara rasmi, Islam menghabiskan lima jam di kementerian kesihatan, menurut satu aduan kementerian yang dilihat oleh AFP.
Penahanannya mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh negara oleh ribuan wartawan serta aktivis hak politik dan sivil.
Kumpulan hak asasi berkata tindakan tegas terhadap media semakin meningkat ketika krisis koronavirus.
Setiausaha Agung Kelab Akhbar Kebangssan Bangladesh menyambut baik keputusan mahkamah itu tetapi meminta agar kes terhadap Islam digugurkan.
“Dia diminta untuk menyerahkan pasportnya, yang mengekang kebebasannya untuk gerak,” kata Elias Khan kepada AFP.
“Kami menuntut agar semua kes terhadapnya ditarik balik segera … wartawan Bangladesh masih beroperasi dalam suasana yang diselubungi ketakutan.”
Bangladesh telah melaporkan hampir 800,000 jangkitan koronavirus dan lebih 12,300 kematian setakat ini, tetapi pakar percaya jumlah sebenar adalah jauh lebih tinggi.