Angka kematian harian Covid-19 di India hampir 4,000, WHO suarakan kebimbangan

Angka kematian harian Covid-19 di India hampir 4,000, WHO suarakan kebimbangan

Jumlah kematian kini mencecah 266,207, menurut data Kementerian Kesihatan India.

Polis menghukum mereka yang melanggar peraturan Covid-19 di Gauhati semalam. (Gambar AP)
MUMBAI:
Kes jangkitan harian Covid-19 di India dilaporkan meningkat sedikit hari ini, namun angka kematian menghampiri 4,000, mencetuskan amaran daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa wabak dijangka semakin meneruk pada tahun kedua.

Dalam tempoh 24 jam lalu, India mencatatkan 326,098 kes jangkitan baharu, iaitu peningkatan paling rendah dalam tempoh hampir tiga minggu, menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan sebanyak 24.37 juta, dengan 3,890 kematian.

Bagaimanapun, kadar peningkatan kes yang perlahan itu mungkin disebabkan kadar pengujian yang lebih rendah, yang terendah sejak 9 Mei.

Di Geneva, Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, tahun kedua wabak dijangka akan mengakibatkan lebih banyak kematian berbanding tahun sebelumnya, dengan India menjadi kebimbangan utama.

Kenyataan ini dibuat beliau pada sebuah mesyuarat dalam talian semalam, selepas Perdana Menteri India Narendra Modi menyuarakan kebimbangan mengenai penularan Covid-19 yang terlalu pantas di kawasan luar bandar.

Sepanjang minggu lalu, India mencatatkan penambahan 1.7 juta kes baharu, dengan lebih daripada 20,000 kematian. Angka kematian kini mencecah 266,207, menurut data Kementerian Kesihatan India.

Jumlah kes kini dilaporkan turun dengan stabil di negeri yang melaporkan lonjakan awal kes jangkitan seperti negeri terkaya di utara India, Maharashtra, dan Delhi di utara, selepas mereka melaksanakan sekatan yang ketat.

Tetapi negeri bahagian timur, Bengal Barat, yang mengadakan pilihan raya baru-baru ini, mengalami peningkatan kes terbesar dalam satu hari, dan ini menyatakan penurunan jumlah kes secara keseluruhan mungkin mengambil sedikit masa.

Jumlah jangkitan di Gujerat, negeri kelahiran Modi, jatuh bawah 10,000 selepas empat minggu berturut-turut tetapi para pegawai memberi amaran supaya kelonggaran tidak diberi sehingga mereka kembali ke tahap sebelum gelombang kedua wabak melanda India pada pertengahan Februari lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.