Lelaki diusir dari AS diberkas di Vietnam kerana disyaki membunuh teman wanita

Lelaki diusir dari AS diberkas di Vietnam kerana disyaki membunuh teman wanita

Lelaki berusia 48 tahun itu sebelum ini diusir dari AS kerana pernah didapati bersalah atas tuduhan keganasan domestik dan dipenjara selama 6 tahun.

Bui Thanh Hung ditahan polis selepas menyerang teman wanitanya menggunakan pisau di wilayah Tien Giang di selatan.
HANOI:
Seorang lelaki yang diusir daripada Amerika Syarikat pada 2017 bawah dasar Trump mengusir pendatang yang didapati bersalah melakukan jenayah, telah diberkas kerana disyaki membunuh di Vietnam.

Bui Thanh Hung, anak kepada ibu warga Vietnam dan seorang tentera AS yang terkorban sewaktu Perang Vietnam, ditahan polis selepas menyerang teman wanitanya menggunakan pisau di wilayah Tien Giang di selatan, lapor media tempatan pada 7 Mei.

Hung, 48, memaklumkan Reuters dalam sebuah wawancara pada 2018 bahawa dia didapati bersalah atas tuduhan keganasan domestik di AS pada 2010.

Dia menjalani hukuman penjara di AS selama enam tahun sebelum diusir ke Vietnam pada 2017.

Pada 2008, sebuah perjanjian telah dimeterai bahawa pendatang dari Vietnam yang tiba di AS sebelum 1995, tidak akan dihantar pulang.

Kebanyakan daripada mereka adalah penyokong Vietnam Selatan, yang ditaja AS.

Hung mengaku bersalah selepas dia ditangkap, lapor media tempatan.

Bawah Kanun Keseksaan di Vietnam, hukuman bagi kesalahan membunuh merangkumi penjara minimum tujuh tahun, hingga hukuman mati.

Hung dan peguamnya tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen, manakala kedutaan AS di Hanoi tidak dapat memberikan komen buat masa ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.