
“Arnon disahkan positif Covid semalam dan sudah dihantar ke hospital penjara untuk rawatan,” kata pegawai Jabatan Penjara yang enggan dinamakan kepada Reuters.
Arnon, 36, ialah penasihat utama di sebalik protes pelajar tahun lalu yang pernah membuat gesaan mustahil untuk pembaharuan monarki Thailand, yang dianggap kebanyakan rakyat konservatifnya sebagai suci.
Protes itu turut menuntut peletakan jawatan perdana menteri sedia ada, yang mula berkuasa selepas rampasan kuasa pada 2014.
Beberapa pemimpin protes kemudiannya dipenjarakan selama berminggu tanpa jaminan atas pertuduhan menghina Raja Maha Vajiralongkorn ketika protes, jenayah yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun.
Permohonan ikat jamin dijadualkan hari ini untuk dua lagi pemimpin protes ditahan, iaitu Parit “Penguin” Chiwarak, 22, dan Panusaya “Rung” Sithijirawattanakul, 22, yang kedua-duanya didakwa di bawah akta menghina raja dikenali sebagai “lese majeste”, serta pertuduhan jenayah lain.
Media tempatan melaporkan pendengaran Parit mungkin ditangguhkan kerana dia berkongsi sel dengan seorang lagi tahanan yang disahkan positif Covid-19.
Parit, yang mengadakan mogok lapar sejak Mac lalu, dimasukkan ke hospital minggu lalu selepas kesihatan semakin merosot.