Covid-19: Singapura catat kematian ke-31

Covid-19: Singapura catat kematian ke-31

Korban terbaharu melibatkan seorang wanita warga Singapura berusia 88 tahun yang meninggal dunia di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit.

Setakat semalam, 34 kes baharu dilaporkan di Singapura dengan 25 daripadanya kes import dan dua kes dari asrama pekerja menjadikan jumlah kes keseluruhan 61,179. (Gambar AP)
SINGAPURA:
Singapura melaporkan satu lagi kematian akibat komplikasi daripada jangkitan Covid-19 semalam, menjadikan jumlah kematian kumulatif di republik ini kepada 31.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan di sini, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata, korban terbaharu itu melibatkan seorang wanita warga Singapura berusia 88 tahun yang meninggal dunia di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit.

Dilabelkan sebagai kes 62,573, kementerian itu berkata, wanita warga emas tersebut dimasukkan ke wad Hospital Tan Tock Seng Hospital (TTSH) dari 14 April dan disahkan positif jangkitan Covid-19 pada 28 April.

“Pesakit mempunyai sejarah penyakit kanser, hipertensi, kegagalan jantung, strok dan ‘hyperlipidaemia’,” kata kementerian itu.

Mangsa merupakan antara 16 kes positif yang mempunyai kaitan dengan kluster kes 62,541, seorang jururawat yang disahkan positif Covid-19 pada 27 April.

Korban terakhir Covid-19 dilaporkan pada 13 Mac lepas.

Sementara itu, seorang wanita warga Malaysia berusia 22 tahun merupakan antara tujuh kes baharu menerusi jangkitan tempatan yang dilaporkan semalam.

Dilabelkan sebagai kes 62,686, beliau bekerja sebagai ahli terapi spa di Spa 9, Holland Drive mengalami hidung berair pada 28 April dan mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta dan didapati positif Covid-19.

“Keputusan saringannya yang positif diterima keesokan hari. Keputusan ujian serologi didapati negatif, menunjukkan ini kemungkinan jangkitan baharu,” kata kementerian itu.

Setakat 12 tengah semalam, 34 kes baharu dilaporkan di Singapura, dengan 25 daripadanya kes import dan dua kes dari asrama pekerja menjadikan jumlah kes keseluruhan 61,179.

Setakat ini, terdapat sembilan kluster kes COVID-19 di republik ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.