Taiwan pindah ratusan orang dari hotel selepas penularan jarang berlaku

Taiwan pindah ratusan orang dari hotel selepas penularan jarang berlaku

Sembilan juruterbang China Airlines Ltd dilaporkan positif Covid-19 sejak minggu lalu.

Keadaan di sebuah stesen kereta api bawah tanah di Taipei pada Khamis. (Gambar AP)
TAIPEI:
Taiwan mula memindahkan lebih 400 orang dari sebuah hotel lapangan terbang ke kemudahan kuarantin berpusat, susulan penularan tempatan Covid-19 yang jarang berlaku.

Taiwan berjaya mengawal pandemik itu dengan langkah pencegahan awal dan berkesan, termasuk menutup sebahagian besar sempadannya. Kebanyakan jangkitan ialah kes import dari negara lain, walaupun terdapat penularan tempatan sekali-sekala dalam beberapa bulan ini.

Sejak minggu lalu, sembilan juruterbang daripada syarikat penerbangan terbesar di Taiwan, China Airlines Ltd, dilaporkan positif Covid-19.

Beberapa juruterbang itu yang menginap di Hotel Novotel Taipei dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan, kini dipindahkan.

Pihak berkuasa menjangkakan mereka dijangkiti virus itu di luar negara.

Menteri Kesihatan, Chen Shih-chung berkata, seorang pekerja hotel yang dijangkiti kini berada dalam unit rawatan rapi dan kerajaan memutuskan untuk memindahkan semua 412 orang di hotel itu, termasuk juruterbang dan anak kapal, ke sebuah kemudahan kuarantin berpusat untuk menjalani ujian saringan.

Katanya, operasi pembersihan sedang dijalankan di hotel itu.

“Kami bimbang pekerja lain juga mungkin dijangkiti virus itu.”

China Airlines, yang terpaksa membatalkan beberapa penerbangan ketika juruterbangnya disaring, berkata ia memberi kerjasama kepada kerajaan dan mematuhi sepenuhnya langkah pencegahan serta meningkatkan vaksinasi untuk kakitangannya.

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Taiwan sangat rendah berbanding negara lain, dengan hanya 58 orang dirawat di hospital. Sehingga kini, ia mencatatkan 1,222 kes Covid-19, termasuk 12 kematian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.