Arizona larang gugur bayi cacat genetik

Arizona larang gugur bayi cacat genetik

Doktor yang melakukan pengguguran boleh dipenjara di bawah undang-undang yang baharu ditandatangani itu.

RUU itu menyatakan, menjadi satu kesalahan bagi seorang profesional perubatan menamatkan kehamilan semata-mata atas dasar kecacatan pada janin. (Gambar Rawpixel)
PHOENIX:
Gabenor Arizona, Doug Ducey semalam menandatangani undang-undang melarang pengguguran khusus atas dasar kecacatan genetik yang dikesan pada janin, seperti sindrom Down atau fibrosis, kecuali ia membawa maut.

Rang undang-undang (RUU), yang diluluskan secara ketat oleh badan perundangan Republik Arizona minggu lalu, menyatakan menjadi satu kesalahan bagi seorang profesional perubatan menamatkan kehamilan semata-mata atas dasar kecacatan pada janin.

Doktor yang melakukan pengguguran tersebut akan berdepan hukuman penjara di bawah RUU itu, yang disifatkan aktivis penentang sebagai tidak sihat dan tidak berperlembagaan.

Jurucakap Planned Parenthood Advocates Arizona berkata kumpulan itu sedang mempertimbangkan untuk mencabar RUU tersebut.

RUU ini akan berkuat kuasa 90 hari selepas badan perundangan ditangguhkan untuk tahun ini.

“Ada nilai yang tidak terukur dalam setiap kehidupan – biar apapun susunan genetik kita,” kata Ducey, seorang Republikan yang kini di penggal keduanya sebagai gabenor, dalam satu kenyataan.

“Melindungi kehidupan anak-anak yang belum lahir, akan terus menjadi keutamaan kami dan undang-undang ini sangat membantu melindungi kehidupan manusia yang sebenarnya.”

Selain melarang pengguguran berdasarkan kecacatan genetik, menggunakan kekerasan atau ancaman ke atas wanita untuk menamatkan kehamilannya atas dasar itu, atau untuk menerima atau meminta wang untuk membayar pengguguran tersebut, turut menjadi kesalahan di bawah Rang Undang-Undang Senat 1457.

Langkah itu tidak terpakai untuk kes di mana keadaan genetik dianggap membawa maut bagi janin atau pengguguran atas alasan lain yang dibenarkan oleh undang-undang negeri, termasuk melindungi nyawa dan kesihatan ibu, kata Ducey.

Undang-undang baharu itu menghendaki doktor yang melakukan pengguguran untuk menyelesaikan afidavit yang membuktikan wanita itu tidak menamatkan kehamilan kerana kecacatan, dan mewajibkan doktor untuk memberitahu ibu bahawa pengguguran berdasarkan bangsa, jantina atau gangguan genetik anak adalah haram.

Beberapa mahkamah persekutuan telah mengambil sikap berbeza terhadap sekatan tersebut.

Penyokong langkah itu berkata ia satu bentuk perlindungan terhadap eugenik (cara membaiki keturunan) moden, satu gagasan pembiakan selektif untuk “mengekang” penyakit keturunan, kecacatan dan sifat yang dianggap tidak diingini oleh manusia.

Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika, mengecam RUU, berkata ia “pasti akan memberi akibat buruk kepada mereka yang pernah mengalami keguguran dalam bentuk apa pun dan akan memaksa ibu meneruskan kehamilan bertentangan dengan kehendak mereka”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.