Pertempuran meletus di Myanmar dekat sempadan Thailand, pos tentera dikepung

Pertempuran meletus di Myanmar dekat sempadan Thailand, pos tentera dikepung

Suasana tenang berakhir selepas pertempuran antara tentera dan kumpulan etnik bersenjata kembali meletus sejak rampasan kuasa.

Dua lelaki menaiki motosikal memberi amaran kepada penunjuk perasaan ketika pasukan keselamatan bersenjata tiba di Mandalay bulan lalu. (Gambar AP)
YANGON:
Pertempuran sengit meletus di sebuah pos tentera Myanmar dekat sempadan timur Thailand awal hari ini di kawasan yang sebahagian besarnya dikuasai pasukan tentera etnik Karen, kata saksi di Thailand.

Bunyi tembakan dapat didengar dari seberang sungai Salween dan video yang tular di media sosial menunjukkan kebakaran dengan asap tebal datang dari arah hutan berbukit.

“Berlaku pertempuran sengit di pos tentera Myanmar di seberang Mae Sam Laep,” kata seorang pegawai wilayah dari bandar Mae Hong Son di barat laut Thailand. “Pegawai keselamatan kami sedang meninjau keadaan tetapi setakat ini belum ada laporan yang ia menjejaskan pihak Thailand.”

Pusat Maklumat Karen, sebuah kumpulan media tempatan, berkata kumpulan etnik bersenjata itu telah menguasai pos tentera tersebut.

Tentera Myanmar bagaimanapun masih belum memberi maklum balas.

Begitu juga kumpulan etnik Kesatuan Nasional Karen (KNU), yang sudah mengepung pos tentera dan bertempur di beberapa tempat lain dengan tentera sejak merampas kuasa pada 1 Februari lalu, mengheret Myanmar dalam kekacauan.

Pertempuran berlaku beberapa hari selepas negara-negara Asia Tenggara berkata mereka telah mencapai kata sepakat dengan junta Myanmar untuk menamatkan keganasan bagi menghentikan krisis berdarah sejak tentera merampas kuasa, sekali gus mengakhiri satu dekad langkah menuju demokrasi.

Pertembungan antara tentera dan beberapa kumpulan etnik bersenjata kembali tercetus sejak rampasan kuasa, selepas bertahun-tahun reda.

Menurut sebuah kumpulan aktivis yang memantau kematian dan penahanan,
kumpulan etnik bersenjata tersebut menyokong musuh junta.

Tentera Myanmar didakwa telah membunuh lebih 750 orang awam dalam cubaan membendung usaha protes menentang rampasan kuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.