Gilead bakal hantar 450,000 bebuli remdesivir ke India

Gilead bakal hantar 450,000 bebuli remdesivir ke India

Hospital di seluruh negara berdepan kekurangan bekalan akibat penggunaan yang tidak bertanggungjawab.

Remdesivir diluluskan di India untuk penggunaan kecemasan terhad dalam merawat kes Covid-19 yang serius. (Gambar AFP)
WASHINGTON:
Gilead Sciences Inc berkata semalam, ia akan menghantar sekurang-kurangnya 450,000 bebuli antivirus remdesivir ke India dan membantu meningkatkan pengeluaran, berikutan negara kedua terpadat di dunia itu sedang berdepan lonjakan kes Covid-19.

Remdesivir diluluskan di India untuk penggunaan kecemasan terhad dalam merawat kes Covid-19 yang serius, tetapi hospital berdepan kekurangan bekalan akibat penggunaan tidak bertanggungjawab selain dijual lebih dari 10 kali ganda harga asal di pasaran gelap.

Kekurangan tersebut telah menimbulkan kebimbangan mengenai lambakannya, kerana orang sanggup beratur di luar klinik dan hospital untuk membelinya selain berjuta lagi menggunakan media sosial untuk mendapatkan bekalan.

Awal bulan ini, India melarang eksport ubat itu dan bahan aktif farmaseutikal (Api) yang digunakan untuk membuatnya.

Tujuh syarikat India telah melesenkan ubat dari Gilead itu, dengan kapasiti terpasang sekitar 3.9 juta unit sebulan.

Wujud keraguan mengenai keberkesanan ubat tersebut dalam merawat Covid-19. Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada bulan November mengeluarkan cadangan bersyarat terhadap penggunaan remdesivir ke atas pesakit yang dirawat di hospital, tetapi India terus menggunakannya.

Seorang pegawai kanan kesihatan kerajaan India minggu lalu berkata remdesivir hanya untuk pesakit yang memerlukan oksigen. “Saya memohon agar gimik mengenai ubat ini dikurangkan, dan perlu digunakan secara rasional,” kata Vinod Kumar Paul.

Pada Isnin, firma farmaseutikal Rusia Pharmasyntez berkata pihaknya sudah bersedia untuk menghantar sehingga 1 juta bungkusan remdesivir ke India menjelang akhir Mei setelah mendapat persetujuan kerajaan Rusia.

Data kementerian kesihatan menunjukkan lebih 300,000 kes Covid-19 baharu dilaporkan setiap hari sepanjang enam hari lalu. Jumlah rasmi jangkitan adalah 17.31 juta dengan 195,123 kematian, namun, pakar kesihatan berkata angka itu mungkin meningkat.

Negara-negara termasuk Britain, Jerman dan AS telah menjanjikan bantuan, sementara Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyifatkan situasi itu sebagai “terlalu memilukan”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.