Wartawan Jepun ditahan di Myanmar disyaki sebar berita palsu

Wartawan Jepun ditahan di Myanmar disyaki sebar berita palsu

Yuki Kitazumi sedang disiasat kerana didakwa menyebarkan berita palsu mengenai tunjuk perasaan di negara itu.

Yuki Kitazumi diiringi polis ketika ditahan kali pertama di Yangon pada Februari, tetapi kemudian dibebaskan. Dia ditahan sekali lagi pada petang Ahad lalu. (Gambar AP)
TOKYO:
Wartawan sambilan Jepun, Yuki Kitazumi, yang ditahan di Yangon, Myanmar, disyaki “menyebarkan maklumat palsu,” lapor Sputnik memetik Agensi Berita Kyodo semalam.

Kitazumi, bekas wartawan Nikkei Business Daily yang berpangkalan di Tokyo, ditahan pasukan keselamatan pada petang Ahad lalu di kediamannya di Yangon.

Menurut kedutaan Jepun, dia kemudian dipindahkan ke penjara Insein di Yangon, yang menempatkan ramai tahanan politik.

Wartawan itu kini sedang disiasat kerana didakwa menyebarkan berita palsu dalam laporannya mengenai tunjuk perasaan di negara itu yang dianggap menjejaskan imej tentera.

Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga menegaskan kedutaan sedang menguruskan kes Kitazumi dan berikrar untuk melindungi warga Jepun di Myanmar, lapor Kyodo.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk melindungi rakyat Jepun di negara ini,” kata Suga.

Kerajaan Jepun mengecam penahanan wartawan itu dan menuntut pembebasannya.

“Kami mendesak pemerintah Myanmar untuk membebaskan wartawan itu secepat mungkin,” kata Ketua Sekretariat Kabinet Katsunobu Kato.

Ini kali kedua Kitazumi ditahan di Myanmar tahun ini.

Sebelum ini, wartawan itu ditahan ketika membuat liputan mengenai tunjuk perasaan besar-besaran terhadap kerajaan tentera tetapi kemudian dibebaskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.