
Walaupun kebanyakan negeri di Australia membenarkan lawatan tanpa memerlukan kuarantin bagi pelawat New Zealand sejak lewat tahun lalu, New Zealand meletakkan syarat berkenaan untuk jirannya itu kerana bimbang dengan penularan virus itu yang masih sekali-sekala berlaku di situ.
“Gelembung ini langkah signifikan yang membolehkan New Zealand berhubung semula dengan dunia luar dan wajar dibanggakan,” kata Perdana Menteri New Zealand Jacinda Adern.
Katanya, memandangkan sempadan telah dibuka antara dua negara itu, Perdana Menteri Australia Scott Morrison akan datang dalam masa terdekat manakala menteri luar negara itu, Marise Payne juga akan melawat New Zealand pada Rabu.
Siaran televisyen menunjukkan keadaan penuh emosi dengan keluarga yang akhirnya bersatu semula, selain pengembara dilihat memenuhi terminal berlepas di lapangan terbang Australia.
Mereka yang mendarat di ibu negara New Zealand, Wellington, turut dapat melihat dari udara ucapan bersaiz gergasi ‘Welcome Whanau’ – perkataan Maori untuk keluarga luas – ditulis menggunakan cat putih berhampiran landasan.
Koir turut menyambut ketibaan penumpang di lapangan terbang di Auckland.
Bagaimanapun, Morrison dan Ardern masing-masing memberi amaran supaya pengembara perlu bersedia untuk kemungkinan berlaku gangguan penerbangan sekiranya ada penularan Covid-19, selain perjalanan tanpa kuarantin juga akan sentiasa disemak pihak berkuasa.
Buat masa ini pengembara dari negara lain ke Australia atau New Zealand masih perlu melalui kuarantin dua minggu di hotel yang ditanggung sendiri sepenuhnya.
Australia merekodkan sekitar 29,500 kes jangkitan dan 910 kematian sejak wabak bermula, manakala New Zealand hanya melaporkan lebih 2,200 kes dan 26 kematian.