Jepun alami gelombang ke-4 wabak, PM minta vaksin tambahan daripada Pfizer

Jepun alami gelombang ke-4 wabak, PM minta vaksin tambahan daripada Pfizer

Pakar beri amaran bahawa populasi umum mungkin tidak dapat vaksin sehingga lewat musim panas atau musim sejuk kerana bekalan terhad.

Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga telah bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer Inc Albert Bourla secara maya bagi membincangkan isu bekalan vaksin. (Gambar AP)
NEW YORK:
Perdana Menteri Yoshihide Suga meminta syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat Pfizer Inc pada Sabtu untuk membekalkan tambahan vaksin Covid-19 ke Jepun tahun ini, lapor Nikkei.

Pfizer mengesahkan dalam e-mel bahawa Ketua Pegawai Eksekutifnya, Albert Bourla bertemu dengan Suga secara maya bagi membincangkan isu bekalan vaksin pada hari terakhir lawatan tiga hari Suga ke Washington.

Akhbar Nikkei Jepun sebelum ini melaporkan bahawa Suga meminta Pfizer membekalkan lebih dos vaksin Pfizer-BioNTech, satu-satunya vaksin yang diluluskan di Jepun.

Proses vaksinasi buat populasi warga emas yang besar di Jepun bermula Isnin, tetapi beberapa pakar memberi amaran bahawa populasi umum mungkin tidak akan mendapat vaksin sehingga lewat musim panas atau musim sejuk disebabkan bekalan yang terhad.

Jepun adalah antara ekonomi utama terakhir yang memulakan vaksinasi Covid-19, iaitu pada pertengahan Februari, setelah ujian domestik dijalankan untuk memastikan keselamatannya.

Hanya 0.9% daripada populasi Jepun menerima suntikan vaksin pertama mereka pada Jumaat, berbanding 2.5% di Korea Selatan, dan 48% di United Kingdom.

Pakar kesihatan terkemuka Jepun mengakui wabak Covid-19 di negara itu telah memasuki gelombang keempat.

Jepun menunjukkan “prestasi yang buruk” dalam mengekang penularan virus, di samping kapasiti pengujian yang terhad, dan kadar vaksinasi yang perlahan, menurut komen pakar kesihatan yang diterbitkan dalam British Medical Journal pada Rabu.

Di tengah-tengah seruan baharu agar Sukan Olimpik Tokyo ditunda atau dibatalkan akibat lonjakan kes Covid-19, ketua jawatankuasa penganjurnya berkata pada Jumaat, negara itu komited untuk mengadakan acara sukan yang selamat pada musim panas ini.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.