
Tindakan itu membawa Perancis seiring dengan pendirian negara Barat lain dalam isu berkenaan.
Walaupun usia persetujuan melakukan hubungan seks memang 15 tahun ke atas di Perancis, pendakwa negara itu sebelum ini perlu membuktikan ia dilakukan tanpa kerelaan untuk mendapat sabitan rogol.
“Ini undang-undang bersejarah untuk kanak-kanak dan masyarakat kita,” kata Menteri Kehakiman Eric Dupond-Moretti.
“Penyerang dewasa tidak lagi boleh mendakwa telah mendapat keizinan seorang kanak-kanak di bawah usia 15 tahun (untuk melakukan seks).”
Undang-undang itu mendapat sokongan undian sebulat suara ketika bacaan akhirnya di Parlimen.
Ahli Parlimen sebelum ini menyuarakan kebimbangan bahawa peruntukan undang-undang seperti itu mungkin menjadikannya jenayah jika berlaku seks sukarela antara kanak-kanak bawah usia dibenarkan dengan teman yang hanya beberapa tahun lebih tua.
Susulan itu, klausa ‘Romeo dan Juliet’ disertakan, yang membenarkan hubungan seks antara kanak-kanak bawah umur dengan individu berusia sehingga lima tahun lebih tua. Klausa itu bagaimanapun tidak terpakai dalam kes serangan seksual.
Undang-undang berkenaan turut menganggap sebagai rogol, seks sumbang mahram dengan kanak-kanak bawah usia 18 tahun.
Perancis telah lama berbangga dengan reputasi sebagai negara ‘romantik’, namun kes keganasan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak tidak mendapat pendedahan khususnya dalam kalangan golongan berpengaruh atau selebriti.
Bagaimanapun ia melihat sedikit perubahan sejak beberapa tahun lalu, termasuk pergerakan #MeToo yang berlaku di seluruh dunia – susulan tuduhan terhadap penerbit filem AS, Harvey Weinstein pada 2017 – turut memberi kesan di Perancis. Ini termasuk skandal pada 2020 melibatkan seorang penulis Perancis terkenal yang secara terbuka mengakui dirinya pedofil.
Perancis telahpun memperketat undang-undang jenayah seks negara itu pada 2018 apabila mengharamkan gangguan seksual di jalanan termasuk perbuatan menyiul dan mengurat.