Lelaki Norway didakwa curi ambulans, cuba bunuh 7 orang 

Lelaki Norway didakwa curi ambulans, cuba bunuh 7 orang 

Nicolai Kaupang mencuri kenderaan itu dengan mengajukan pistol ke arah petugas ambulans yang dikejarkan ke lokasi kemalangan jalan raya membabitkan tertuduh.

Polis menahan Nicolai Kaupang selepas adegan kejar-mengejar di Oslo pada 2019. (Gambar Twitter Gareth Davies)
OSLO:
Seorang lelaki Norway dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan merampas ambulans dan cuba melanggar serta membunuh tujuh orang, termasuk dua anggota polis dan sepasang bayi kembar ketika adegan kejar-mengejar di sebuah kawasan perumahan di Oslo pada 2019.

Pendakwa raya berkata, Nicolai Kaupang, 33, mencuri kenderaan itu dengan mengajukan pistol ke arah petugas ambulans yang dikejarkan ke lokasi kemalangan jalan raya membabitkan tertuduh, serta menyebabkan adegan kejar-mengejar dengan polis ketika dia cuba melarikan diri.

Kaupang membawa sejumlah besar dadah, kata polis, yang menolak sebarang motif politik.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cuba membunuh dan mengugut dua pegawai polis.

Bagaimanapun, agensi berita NTB melaporkan lelaki itu mengaku bersalah terhadap dakwaan melakukan rompakan, memiliki dadah, mengugut dan membawa senjata api di tempat awam.

Berdasarkan pertuduhan itu, Kaupang didakwa memandu ambulans ke tepi jalan raya dengan laju, menyasarkan pejalan kaki dengan niat untuk membunuh, mencederakan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan bulan ketika melanggar kereta sorong yang dikongsi bersama kembarnya.

Pendakwa raya berkata, kecederaan itu tidak mengancam nyawa bayi berkenaan dan kembarnya tidak cedera kerana ibu mereka hampir berjaya menarik kereta sorong itu daripada laluan ambulans berkenaan.

Katanya, lima mangsa lain, termasuk ibu kanak-kanak itu dan dua anggota polis, sempat mengelakkan dirempuh ambulans itu.

Kaupang melanggar beberapa kereta ketika adegan kejar-mengejar kira-kira lima minit, menurut tempoh yang yang diberikan pendakwa raya, dan polis turut melepaskan beberapa das tembakan ke arah ambulans itu sebelum ia berhenti di jalan sempit.

Dalam keadaan biasa, jenayah itu akan membawa hukuman penjara sehingga 21 tahun.

Tetapi, pendakwa raya berkata, mereka mungkin memohon hukuman tambahan, yang akan menyebabkan tertuduh dibebaskan mengikut syarat yang bergantung kepada pemulihannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.