Penembak culik pastor ketika siaran langsung upacara gereja Haiti di Facebook

Penembak culik pastor ketika siaran langsung upacara gereja Haiti di Facebook

Selain pastor, kumpulan penembak turut menculik tiga lagi individu, termasuk pemain piano.

Salah seorang penembak bersenapang mengarahkan paderi dan ahli koir keluar dari sebuah gereja di Diquini, pinggir bandar Port-au-Prince. (Gambar Facebook)
MEXICO CITY:
Sekumpulan penembak menculik seorang pastor Haiti dan tiga lagi individu dalam satu upacara yang disiarkan secara langsung di Facebook, lapor media pada Jumaat, dengan rakaman kejadian di negara yang menghadapi keganasan semakin meningkat itu dikongsi secara meluas di media sosial.

Dalam klip video itu, dua ahli koir dilihat menyanyi sebelum mereka tiba-tiba berhenti dan tunduk ketakutan. Ketika piano terus memainkan lagu, seorang lelaki yang dilengkapi senapang muncul di skrin dan melarikan mereka.

Akhbar Miami Herald melaporkan kejadian itu disiarkan secara langsung di Facebook dan YouTube pada petang Khamis lalu di sebuah gereja dikenali sebagai Seventh-day Adventist Gospel Kreyol Ministry Church di Diquini, pinggir bandar Port-au-Prince, ibu negara Haiti.

Gregory M Figaro, yang bapanya ialah Greger Figaro, pengasas gereja itu memberitahu Miami Herald, lapan daripada 10 penembak tiba dengan dua kenderaan dan menculik pastor serta tiga yang lain, termasuk pemain piano.

“Jika ini boleh berlaku, maka apa saja mungkin berlaku di negara ini kerana tiada penghormatan terhadap mana-mana institusi, baik gereja mahupun sekolah,” kata Figaro dipetik Miami Herald.

Haiti berdepan keganasan semakin meningkat beberapa tahun ini, khasnya penculikan untuk mendapatkan wang tebusan yang melumpuhkan ekonomi dan masyarakatnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.