
BANGKOK: Empat anggota penyelamat sukarelawan antara lima yang maut, selepas bangunan rumah tiga tingkat yang musnah dalam kebakaran, runtuh hari ini.
Dalam kejadian 6 pagi di Jalan Boromratchonnanee, daerah Thawi-Watthana, barat Bangkok itu, tujuh penghuni berjaya diselamatkan.
Menurut laporan media, anggota polis dan bomba berkejar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan dan mengambil sejam untuk memadam kebakaran.
Bagaimanapun, ketika usaha memadam selesai dan penghuni sedang diselamatkan, bangunan itu tiba-tiba runtuh.
Berdasarkan laporan awal pihak berkuasa, lima mangsa ditemui mati di bawah runtuhan bangunan, dengan empat daripadanya anggota penyelamat dan seorang lagi pemilik rumah itu.