Anggota pertolongan cemas Myanmar ditahan, ditakutkan dan cedera, kata Palang Merah

Anggota pertolongan cemas Myanmar ditahan, ditakutkan dan cedera, kata Palang Merah

Palang Merah berkata, ambulans dan harta bendanya turut dirosakkan junta.

Seorang penunjuk perasaan antikudeta yang cedera dibawa ke sebuah hospital di bandar Latha, Yangon, minggu lalu. (Gambar AP)
GENEVA:
Kakitangan Palang Merah Myanmar ditahan, ditakut-takutkan dan cedera di barisan hadapan ketika cuba merawat orang ramai cedera yang semakin meningkat, kata Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (IFRC) dan Persatuan Bulan Sabit Merah hari ini.

Agensi itu berkata, ia sangat bimbang dengan krisis kemanusiaan yang semakin meningkat dua bulan selepas rampasan kuasa oleh junta.

Lebih 500 orang awam dilaporkan terbunuh ketika pasukan tentera cuba mengekang protes harian.

Pasukan Palang Merah Myanmar dalam kenyataan berkata, ia menyediakan rawatan untuk lebih 2,00 orang dan mereka turut menjadi sasaran junta.

“Petugas pertolongan cemas Palang Merah Myanmar dan anggota perubatan ditahan secara salah, ditakut-takutkan dan cedera, dengan ambulans dan harta benda Palang Merah dirosakkan. Ini tidak boleh diterima,” kata Pengarah Rantau Asia Pasifik IFRC, Alexander Matheou.

“Petugas kesihatan tidak patut disasarkan. Mereka perlu diberikan akses kemanusiaan tanpa had kepada orang yang memerlukan.”

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan mana-mana kumpulan yang bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan dan jurucakap Palang Merah enggan mengulas lanjut.

Rakaman video di media sosial menunjukkan pasukan keselamatan menyerang anggota perubatan, dengan sekurang-kurangnya sebuah ambulans ditembak. Reuters tidak dapat mengesahkan kesahihan video itu.

Palang Merah memberi amaran krisis di Myanmar membawa ancaman kesihatan lebih luas dengan perkhidmatan asas seperti pengangkutan dan perbankan yang lumpuh akan menyukarkan program kemanusiaan diteruskan.

Pergolakan turut mengancam usaha membendung penularan pandemik Covid-19, dengan ujian saringan, pengesanan kontak rapat dan rawatan merosot secara mendadak.

“Kita mungkin berdepan bencana di Myanmar dengan satu lagi gelombang jangkitan Covid-19 bertembung krisis kemanusiaan meruncing yang tersebar ke seluruh negara,” kata Matheou.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.