Bimbang kebanjiran pelarian Myanmar, Thai akan vaksin petugas di sempadan

Bimbang kebanjiran pelarian Myanmar, Thai akan vaksin petugas di sempadan

Kementerian Kesihatan Awam akan mengedarkan vaksin ke kawasan berisiko di wilayah utara Thailand susulan laporan mengenai pelarian Myanmar menyeberangi sempadan.

Seorang penduduk kampung Karen dari Myanmar dirawat paramedik di Pusat Kesihatan Ban Mae Sam Laep, wilayah Mae Hong Son di Thailand, selepas mereka menaiki bot menyeberang Sungai Salawin pada Selasa. (Gambar AP)
BANGKOK:
Thailand memperuntukkan 800,000 dos vaksin Covid-19 untuk petugas barisan hadapan, termasuk pegawai keselamatan di sempadan utara negara itu bagi menghadapi kemungkinan kebanjiran pelarian Myanmar serta mengekang penularan pandemik itu.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 Thailand (CCSA), Dr Apisamai Srirangsan, berkata Kementerian Kesihatan Awam akan mengedarkan vaksin itu ke kawasan berisiko di wilayah utara negara itu susulan laporan mengenai pelarian Myanmar menyeberangi sempadan.

“Anggota barisan hadapan sentiasa berkontak rapat dengan orang yang melintas sempadan. Oleh itu, mereka perlu menerima suntikan vaksin dengan secepat mungkin,” katanya pada taklimat harian Covid-19 hari ini.

Terdahulu, media tempatan Myanmar melaporkan tentera negara itu melancarkan serangan udara di wilayah Karen Ahad lalu menyebabkan 3,000 penduduk kampung melarikan diri ke hutan dan menyeberang ke Thailand.

Semalam, Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha, berkata negaranya sedia memberi perlindungan kepada pelarian Myanmar atas prinsip kemanusiaan.

Dalam pada itu, Apisamai berkata, seramai 100,000 penduduk Phuket akan divaksin sebelum pulau peranginan itu menerima kedatangan pelancong bermula 1 Julai ini.

Phuket bercadang mengecualikan kuarantin mandatori kepada pelancong asing yang divaksin masuk ke negara itu bagi membantu memulihkan industri pelancongan yang terjejas teruk akibat Covid-19.

“Ini bagi memastikan keselamatan penduduk tempatan dan pelancong asing yang masuk ke negara ini.”

Pihak berkuasa pelancongan Thailand menjangka sekurang-kurangnya 10,000 pelancong melawat Phuket pada suku ketiga tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.