
Rakaman televisyen menunjukkan api masih marak pagi ini, manakala media tempatan melaporkan rumah-rumah penduduk dan masjid yang berdekatan loji berkenaan turut mengalami kerosakan akibat kesan letupan kuat.
Pertamina dalam kenyataan memaklumkan, sebuah tangki di kilang (loji) Pertamina Balongan itu terbakar pada 12.45 tengah malam tadi, ketika berlaku hujan lebat dan petir di kawasan berkenaan.
“Punca kebakaran belum diketahui, saat ini Pertamina Balongan sedang fokus melakukan pemadaman api di kilang yang berlokasi di Desa Balongan, Kabupaten Indramayu, Jawa Barat, yang terletak kira-kira 200km dari Jakarta,” menurut kenyataan itu, lapor Bernama.
Jurucakap Pertamina kemudian berkata, lima individu yang cedera dalam insiden itu dirawat di hospital, sambil menambah, ada antara mereka melalui kawasan itu ketika kebakaran bermula, lapor Reuters
Menurut syarikat minyak milik kerajaan itu, ia akan menutup loji tersebut bagi menjalankan “kawalan aliran minyak” bagi mengelakkan kebakaran lebih merebak.
Beberapa video kebakaran dan letupan dahsyat yang berlaku susulan kebakaran itu tular di media sosial di Indonesia.