Taiwan bantu negara sekutu miskin beli vaksin, tapi bukan dari China

Taiwan bantu negara sekutu miskin beli vaksin, tapi bukan dari China

Taipei menjalin hubungan diplomatik dengan hanya 15 negara dan Beijing meningkatkan usaha memutuskan ikatan itu.

Wu memberitahu parlimen, mereka akan membantu sekutu mereka membeli vaksin yang diperlukan. (Gambar AP)
TAIPEI:
Taiwan akan membantu baki rakan sekutu diplomatiknya untuk membeli vaksin Covid-19 dengan syarat dana Taiwan itu tidak digunakan untuk mendapatkan vaksin China, kata Menteri Luar Negeri Joseph Wu hari ini.

Taiwan yang didakwa milik China, menjalin hubungan diplomatik dengan hanya 15 negara, kebanyakannya negara miskin dan membangun di Amerika Latin, Caribbean dan Pasifik, dan Beijing dikatakan terus meningkatkan usaha memujuk mereka memutuskan ikatan itu.

Taiwan berkata minggu lalu ia membantu satu-satunya sekutu diplomatiknya di Amerika Selatan, Paraguay, membeli vaksin Covid-19, susulan tunjuk perasaan di negara itu berikutan cara kerajaan mengendalikan krisis kesihatan di Paraguay.

Wu memberitahu parlimen, mereka akan membantu sekutu mereka membeli vaksin yang diperlukan.

“Tetapi salah satu syaratnya ialah vaksin China tidak boleh dibeli. Atau, jika anda membeli vaksin China, anda tidak boleh menggunakan wang Taiwan kami,” tambahnya.

Walaupun Taiwan telah menyediakan pelitup muka dan pelbagai peralatan untuk negara-negara lain bagi membendung pandemik, program vaksinasinya baru saja dimulakan minggu ini, dengan suntikan vaksin dibangunkan negara itu paling awal akan dilancarkan menjelang pertengahan tahun ini.

China bagaimanapun sudah mulai menawarkan vaksinnya kepada kebanyakan negara membangun.

Pada Isnin lalu, Kementerian Luar Negeri Paraguay berkata kerajaan telah dihubungi individu “yang kesahihan atau hubungannya dengan kerajaan Republik Rakyat China belum dapat disahkan” mengenai vaksin.

Katanya, individu yang tidak didedahkan identitinya itu berkata prasyarat untuk mendapatkan vaksin adalah dengan memutuskan hubungan dengan Taiwan.

Wu berkata beliau yakin dengan hubungan Taiwan dan Paraguay, yang menurutnya “membenci” China.

“Kerajaan Paraguay sedar bahawa wujud elemen pengaruh China, dana China dan saluran China di sebalik pergolakan di sana, dan mereka membenci China,” katanya.

Kementerian Luar Negeri China enggan mengulas lanjut berhubung isu berkenaan.

Beijing melihat kerajaan Taiwan yang dipilih secara demokratik sebagai tidak sah dan menganggap pulau itu hanya sebahagian wilayah China dan tidak berhak menjalin hubungan antara negara dengan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.