15 maut, 400 hilang dalam kebakaran kem Rohingya di Bangladesh

15 maut, 400 hilang dalam kebakaran kem Rohingya di Bangladesh

Seramai 560 lagi cedera dan sekurang-kurangnya 10,000 tempat perlindungan musnah yang menyebabkan kira-kira 45,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Pelarian Rohingya melihat kepulan asap daripada kebakaran di kem pelarian mereka di Cox’s Bazar semalam. (Gambar AP)
GENEVA:
Lima belas orang disahkan maut, manakala 400 lagi hilang dalam kebakaran besar di kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Apa yang kita lihat dalam kebakaran ini tidak pernah berlaku dalam kem-kem ini. Ia adalah besar dan mengejutkan,” kata
Johannes van der Klaauw, wakil Agensi Pelarian PBB di Bangladesh, kepada wartawan di Geneva melalui video dari Dhaka.

Punca kebakaran itu belum diketahui.

Ia berlaku semalam di kem pelarian terbesar di dunia itu, yang dihuni hampir sejuta orang daripada etnik minoriti Islam Rohingya melarikan diri daripada operasi ketenteraan ganas di Myanmar.

“Setakat ini, kami mengesahkan 15 orang maut, 560 cedera dan 400 lagi hilang, dengan sekurang-kurangnya 10,000 tempat perlindungan musnah. Itu bermakna sekurang-kurangnya 45,000 orang kehilangan tempat tinggal,” kata Van der Klaauw.

Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi PBB IOM) berjanji menyediakan AS$1 juta untuk usaha bantuan, tetapi tambahan AS$20 juta diperlukan bagi memenuhi keperluan segera.

Jurucakap IOM, Angela Wells berkata, kebakaran itu menyebabkan “kerosakan amat besar” dan klinik kesihatan kendalian IOM, yang terbesar dalam kem itu, musnah sama sekali.

Katanya, responden pertama ialah sukarelawan Rohingya yang membawa pelarian ke tempat selamat, menyokong respons kebakaran dan bantuan lain.

“IOM sedang mengagihkan bantuan kecemasan kepada semua yang terjejas. Bantuan ini termasuk alat perlindungan untuk pelarian membina semula tempat tinggal mereka, serta barang keperluan lain seperti selimut, lampu solar, kelambu dan tong air.

“Menjelang musim monsun, membina semula tempat tinggal sangat penting. IOM akan terus membantu mereka membina semua tempat perlindungan yang tahan lama, tandas dan kemudahan kesihatan penting.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.