
Defendan, Geovanny Fuentes, merasuah presiden dengan wang tunai AS$25,000 yang menyebabkan beliau “kebal”, kata pendakwa raya, Jacob Gutwillig dalam pembukaan hujah di perbicaraan persekutuan New York.
Pendakwa raya berkata, presiden itu “menjadikan defendan kebal”.
Fuentes membayar wang itu kepada Hernandez dalam pertemuan pada 2013 dan 2014, kata pendakwa raya itu.
Hernandez, yang menafikan semua dakwaan terhadapnya, menjadi presiden sejak Januari 2014.
Akauntan, Jose Sanchez, yang turut menghadiri pertemuan itu, memberitahu juri “kejutan, ketakutan yang beliau rasai ketika melihat defendan duduk bersama presiden”, kata Gutwillig.
Sanchez bekerja di sebuah syarikat penanaman padi, di mana defendan mengubah wang, kata pendakwa raya.
Peguam bela, Eylan Schulman cuba menimbulkan keraguan terhadap apa yang saksi dikatakan rancang beritahu juri.
“Jadi, hanya AS$25,000 diperlukan untuk merasuah seorang presiden,” kata Schulman.
Katanya, Sanchez “mendapat banyak manfaat dan hanya rugi sedikit. Dia mempunyai permohonan suaka yang masih menunggu kelulusan imigresen”.
Pihak pembelaan turut memberitahu juri, mereka tidak patut mempercayai keterangan Leonel Rivera, bekas pemimpin kartel Los Cachiros di Honduras, yang membunuh 78 orang, cuba membunuh 15 lagi dan dipenjarakan di AS kerana penyeludupan dadah.
“Kerajaan (AS) bersetuju membuat perjanjian dengan syaitan ini…dia tidak patut dipercayai,” kata Schulman.
Pendakwa raya AS menganggap Hernandez pengkomplot bersama Fuentes dalam menyeludup bertan-tan kokain ke AS, tetapi mereka tidak mendakwanya.
Tony Hernandez yang merupakan adik presiden, disabitkan bersalah menyeludup dadah dalam skala besar dalam perbicaraan di New York pada 2019.
Keputusan berhubung hukuman dalam kes itu ditangguhkan beberapa kali dan kini dijadualkan pada 23 Mac ini. Tony boleh dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.
Pendakwa raya berkata, dia ialah orang tengah antara Fuentes dan presiden.
Saksi pertama perbicaraan itu, ejen Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah AS, Brian Fairbanks, memberitahu juri yang beliau menemui alamat e-mel dan nombor telefon Hernandez dalam telefon defendan.
Pendakwa raya turut menunjukkan gambar adik dan anak lelaki Fuentes bersama Hernandez yang ditemui dalam telefonnya.
Dan ia menunjukkan gambar beberapa senjata api yang dijumpai dalam akaun iCloud salah seorang anak lelaki Fuentes – termasuk senapang automatik yang didakwa ditawarkan sebagai hadiah kepada Hernandez dengan parap dan gelarannya diukir di atas picu senapang.
Isnin lalu, Hernandez menerusi Twitternya berkata, saksi perbicaraan itu diminta memberi “keterangan palsu” terhadapnya.
“Kami menyokong kedaulatan undang-undang dan perjuangan menentang kekebalan. Itu benar di Honduras, ia benar di semua peringkat di Honduras,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price kepada wartawan pada Selasa.
“Mana-mana pemimpin, saya rasa adil untuk katakan, tidak bersedia memerangi rasuah tidak akan mempunyai hubungan erat dengan AS.”