Lebih separuh kes baru Covid-19 di India dari negeri terkaya

Lebih separuh kes baru Covid-19 di India dari negeri terkaya

Lonjakan kes di Maharashtra mungkin disebabkan kepenatan pandemik, pilihan raya kampung, perkahwinan, pembukaan semula sekolah dan kesesakan pengangkutan awam.

Penduduk India menerima suntikan vaksin di Mumbai pada Isnin. (Gambar AP)
NEW DELHI:
Maharashtra yang merupakan negeri paling kaya di India mencatatkan lebih separuh daripada kes baru dan keseluruhan kes aktif Covid-19, menurut statistik Kementerian Kesihatan, walaupun sepasukan pakar berkata, gelombang terbaru di negeri itu mungkin “kurang memudaratkan”.

Pakar berkata, kadar kemasukan ke hospital dan kematian di India yang agak rendah menunjukkan pandemik itu menghampiri fasa seterusnya penularan tempatan yang mampu dikawal, seperti yang dilihat di negara perindustrian di barat.

India mencatatkan keseluruhan 11.23 juta kes Covid-19, tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat, dengan negeri itu melaporkan 11,141 daripada 18,599 kes baru dalam tempoh 24 jam lalu, serta 52% daripada 188,747 kes aktif.

Bagaimanapun, berdasarkan nisbah populasi, kadar kematian Covid-19 di India antara terendah di dunia, meningkat 97 kes pada Isnin kepada 157,853 kematian.

Kementerian Kesihatan berkata, ia menghantar pasukan pakar ke satu perempat daripada negeri dan wilayah persekutuan yang menunjukkan lonjakan kes bagi memahami cabaran dan masalah yang mereka hadapi.

Satu daripada pasukan itu berkata, lonjakan kes di Maharashtra, yang mempunyai lebih 114 juta penduduk, mungkin disebabkan kepenatan pandemik, pilihan raya kampung, perkahwinan, pembukaan semula sekolah dan kesesakan pengangkutan awam.

“Virus itu menular ke kawasan belum terjejas dan kebanyakan kes tidak bergejala,” katanya dalam laporan pada Sabtu lalu.

“Rakyat tidak mematuhi arahan kuarantin atau menjalani ujian saringan. Mereka berpendapat gelombang semasa kurang memudaratkan.”

Laporan itu bagaimanapun tidak menyatakan cara lonjakan semasa ditentukan kurang memudaratkan, tetapi kerajaan India terdahulu menolak varian baru sebagai punca lonjakan kes itu.

Ratusan ribu ke tempat kerja setiap hari di pelbagai bandar di Maharashtra, yang menempatkan industri seperti kilang pakaian, bahan kimia, kereta dan besi.

Kerajaan persekutuan meminta negeri mengutamakan vaksinasi di kawasan paling teruk terjejas.

Sejak program vaksinasi bermula pertengahan Januari lalu, India sudah memberi vaksin kepada 17.3 juta orang, satu perlima daripadanya sudah menerima dua dos yang diperlukan.

Ia menyasarkan 300 juta daripada 1.35 bilion penduduknya divaksin menjelang Ogos ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.