Auckland laksana semula perintah berkurung susulan kluster varian baharu Covid-19

Auckland laksana semula perintah berkurung susulan kluster varian baharu Covid-19

Perdana Menteri Jacinda Adern mengumumkan penutupan selama seminggu.

Polis membuat rondaan di pusat perniagaan di Christchurch tahun lepas. (Gambar AP)
MELBOURNE:
Auckland, bandar terbesar di New Zealand, dikenakan penutupan kedua susulan pihak berkuasa kesihatan berusaha mengendalikan satu kluster Covid-19 yang tercetus daripada varian baharu, lapor Reuters.

Penutupan selama seminggu yang diumumkan lewat Sabtu oleh Perdana Menteri Jacinda Ardern itu, menyusul arahan “duduk di rumah” selama tiga hari pada pertengahan Februari selepas varian baharu dari United Kingdom dikesan.

Pihak berkuasa kesihatan berkata, penjujukan genom daripada 13 kes baharu direkodkan itu, dikaitkan dengan kluster sedia ada.

“Tidak mungkin kita tidak melihat lebih banyak kes,” kata Menteri Tindakan Covid-19 Chris Hipkins kepada rangkaian televisyen negara TVNZ.

“Berapa banyakkah kes ketika ini yang kita tidak tahu.”

Kes baharu itu dipercayai menular selama seminggu. Individu dijangkiti, yang merupakan seorang pelajar berusia 21 tahun, ketika itu mengunjungi beberapa tempat awam.

Penutupan dengan sekatan Tahap 3 itu membolehkan orang meninggalkan rumah hanya untuk urusan penting seperti membeli-belah dan bekerja.

Tempat awam akan kekal ditutup. Sekatan di seluruh negara akan diperketat ke Tahap 2, termasuk had ke atas perhimpunan awam dan beberapa acara sukan.

New Zealand dan jirannya, Australia dilihat berjaya mengekang penyebaran pandemik itu melalui penutupan sempadan, pengesanan kontak rapat yang agresif dan kepatuhan tinggi rakyat terhadap arahan segera oleh pihak berkuasa kesihatan awam.

Negara berpopulasi lima juta itu mencatatkan lebih 2,000 kes Covid-19 sejak wabak melanda dunia dengan 26 kematian direkodkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.