Puting beliung, cuaca sejuk melampau di AS akibatkan tujuh kematian, jejas inokulasi Covid-19

Puting beliung, cuaca sejuk melampau di AS akibatkan tujuh kematian, jejas inokulasi Covid-19

Jisim udara Artik yang melanda sebahagian besar negara mendorong suhu ke paras terendah dalam sejarah semalam, kata ahli meteorologi.

Rumah yang musnah akibat puting beliung di Brunswick County, North Carolina semalam. (Gambar AP)
NEW YORK:
Puting beliung di tenggara Amerika Syarikat dan cuaca sejuk subzero yang mencipta sejarah sejauh selatan di Texas didakwa mengakibatkan tujuh kematian dan gangguan bekalan elektrik besar-besaran yang menjejaskan program inokulasi Covid-19 dan mengancam akan menjejaskan bekalan vaksin.

Cuaca berbahaya akan berterusan di banyak kawasan di AS bermula semalam hingga Jumaat, dengan salji setebal 10cm dan hujan membeku dijangka dari dataran selatan ke Timur Laut, menurut peramal cuaca.

“Kami memanggilnya Sistem Ribut No 2, dengan penempatan yang sangat mirip dengan ribut sebelumnya,” kata ahli meteorologi Lara Pagano dari Pusat Ramalan Cuaca Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan di College Park, Maryland.

Dia merujuk kepada ribut yang melanda negara tersebut sepanjang hujung minggu cuti Hari Presiden yang panjang, dengan salji dan ais meliputi kawasan dari Ohio ke Rio Grande.

Jisim udara Artik yang melanda sebahagian besar negara itu mendorong suhu ke paras terendah dalam sejarah semalam, kata Pagano.

Di Lincoln, Nebraska, suhu -35°C yang dicatatkan semalam memecahkan rekod suhu -27°C pada 1978.

Di Dallas-Fort Worth yang biasanya bercuaca panas, suhu -17°C memecahkan rekod -11°C pada 1903.

Dengan lebih 4.4 juta gangguan bekalan elektrik hanya di Texas, pihak berkuasa menutup lokasi-lokasi inokulasi dan bergegas untuk menggunakan 8,400 vaksin yang perlu disimpan pada suhu subzero sebelum ia rosak setelah generator sandaran gagal berfungsi, menurut pentadbir Harris County, Lina Hidalgo.

Dos-dos digegaskan ke hospital-hospital di kawasan itu dan Rice University untuk disuntik kepada penerima yang sudah berada di sana dan tidak perlu melalui jalan-jalan yang licin.

Jalan-jalan berais didakwa mengakibatkan satu daripada empat kematian yang dikaitkan dengan kesejukan yang melampau. Yang lain dikenal pasti sebagai gelandangan dan dua mangsa keracunan karbon monoksida, kata ketua polis Houston, Art Acevedo.

Setelah keadaan yang reda sementara semalam membolehkan pihak berkuasa menilai kerosakan, cuaca buruk, termasuk kemungkinan puting beliung, dijangka akan kembali hari ini dan esok, kata ahli meteorologi Jeremy Grams dari Pusat Ramalan Ribut di Norman, Oklahoma.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.