AS beri amaran kemunculan semula Ebola selepas jangkitan meletus di Afrika

AS beri amaran kemunculan semula Ebola selepas jangkitan meletus di Afrika

Kematian akibat virus itu disahkan di Guinea dan Republik Demokratik Kongo.

Pekerja kesihatan memeriksa suhu pelawat hospital di Butembo, Republik Demokratik Kongo. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Amerika Syarikat memberi amaran bahawa, meskipun wabak Covid-19 sedang menular, dunia “tidak mampu berpaling ke arah lain” setelah kes-kes Ebola dikesan di Guinea dan Republik Demokratik Kongo.

Lima orang meninggal dunia setelah dijangkiti virus Ebola di Guinea – cetusan pertama jangkitan di Afrika Barat sejak wabak 2013-2016 yang mengorbankan 11,300 nyawa di Guinea, Liberia dan Sierra Leone.

Republik Demokratik Kongo, di pusat Afrika, telah memulakan kempen vaksinasi Ebola setelah empat kes – duanya mengorbankan nyawa – muncul tiga bulan selepas cetusan terakhir jangkitan virus di negara itu.

“Ebola telah muncul kembali serentak di Afrika Tengah dan Barat,” kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih Jen Psaki dalam kenyataan, sambil menjamin AS akan bekerjasama dengan negara yang terjejas dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Dunia tidak mampu berpaling ke arah lain. Kita mesti melakukan segalanya untuk bertindak balas dengan cepat dan berkesan,” tambahnya.

Ebola menyebabkan demam teruk dan, dalam kes terburuk, pendarahan yang tidak dapat dikawal. Virus itu disebarkan melalui sentuhan dengan cecair tubuh, dan mereka yang tinggal bersama atau merawat pesakit adalah golongan paling berisiko.

Wabak yang menular pada 2013 hingga 2016 bermula di Guinea, di wilayah tenggara yang sama di mana kes terbaru kali ini dijumpai.

Virus tersebut, yang dipercayai mendiami kelawar, mula-mula dikenal pasti pada 1976, di Zaire, kini Republik Demokratik Kongo.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.