
Timbalan Jurucakap Kementerian Luar Natapanu Nopakun berkata lelaki berusia 41 tahun itu, seorang peniaga permata tiba di Thailand pada 29 Jan dan menjalani kuarantin di kemudahan kuarantin alternatif (ASQ).
Beliau berkata lelaki itu diuji positif varian Covid-19 Afrika Selatan pada 3 Feb dan kini dirawat di Unit Penyakit Berjangkit Palang Merah Thailand.
“Kami ingin memberi jaminan bahawa pesakit telah tinggal di ASQ sebaik tiba. Tiada kontak antara pesakit dengan orang awam. Semua petugas perubatan di hospital dan ASQ yang mempunyai kontak dengan pesakit telah menjalani ujian (Covid-19). Semua keputusan adalah negatif.
“Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) memantau situasi varian baharu ini di negara lain. Jabatan sedang mengambil langkah-langkah pencegahan dengan melakukan analisis genetik virus yang dijumpai pada pesakit yang tiba dari negara yang melaporkan varian baharu (Covid-19) itu,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.
Melihat kepada bilangan varian baharu Covid-19 yang muncul di dunia, Natapanu berkata Thailand mengadakan proses saringan lebih ketat bagi penumpang yang tiba dari negara-negara yang melaporkan varian baharu virus itu.
“Pesakit yang diuji positif dengan varian baharu akan berada di hospital lebih 14 hari,” katanya.