Protes anti-kerajaan bertukar ganas di Bangkok

Protes anti-kerajaan bertukar ganas di Bangkok

Ia susulan penahanan empat pemimpin tunjuk perasaan baru-baru ini yang didakwa menghina monarki dalam demonstrasi tahun lalu.

Protes jalanan di Bangkok pada Sabtu itu susulan penahanan empat pemimpin tunjuk perasaan baru-baru ini yang didakwa di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan kerana menghina monarki dalam demonstrasi tahun lalu. (Gambar AP)
BANGKOK:
Protes anti-kerajaan di Bangkok bertukar ganas pada Sabtu malam dengan beberapa kecederaan dan tangkapan dilaporkan.

Penunjuk perasaan anti-kerajaan Thailand kembali melakukan protes jalanan di Bangkok pada Sabtu, di mana mereka berkumpul di Monumen Demokrasi susulan penahanan empat pemimpin tunjuk perasaan baru-baru ini yang didakwa di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan negara itu, yang juga dikenali sebagai lèse-majesté kerana menghina monarki dalam demonstrasi tahun lalu.

Ketika malam menjelang, penunjuk perasaan berarak ke Sanam Luang, berhampiran Istana Diraja. Bagaimanapun, mereka disekat oleh wayar berduri dan halangan. Terdapat pertempuran kecil dengan polis.

Media tempatan melaporkan beberapa letupan kecil dipercayai alat letupan buatan sendiri dan mercun didengar semasa kebuntuan. Cat merah dan botol dilempar ke arah polis.

Timbalan Jurucakap Polis Thailand, Krissana Pattanacharoen berkata lebih 20 anggota polis dilaporkan cedera dalam pertempuran itu.

“Sekurang-kurangnya tujuh individu ditahan untuk soal siasat,” katanya kepada media di sini malam tadi.

Terdahulu, penunjuk perasaan berkumpul di Monumen Demokrasi yang mendesak kerajaan membatalkan Seksyen 112. Mereka menutup monumen itu dengan kain merah besar yang mewakili darah pejuang demokrasi.

Sejak pertengahan Julai, penunjuk perasaan anti-kerajaan telah berhimpun di Bangkok dan bandar-bandar lain, mengulangi tuntutan mereka untuk perubahan politik termasuk agar perdana menteri meletakkan jawatan, pembubaran Parlimen, pindaan perlembagaan dan reformasi monarki.

Bagaimanapun, perhimpunan itu perlahan beberapa bulan kebelakangan ini berikutan gelombang baharu pandemik Covid-19 di Thailand.

Seorang daripada pemimpin penunjuk perasaan itu berkata satu lagi protes akan diadakan di Monumen Demokrasi jika rakan-rakan mereka tidak dibebaskan dalam masa tujuh hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.