Biden mula tarik balik dasar suaka ‘Kekal di Mexico’ diperkenal Trump

Biden mula tarik balik dasar suaka ‘Kekal di Mexico’ diperkenal Trump

Program diperkenalkan bawah pentadbiran Donald Trump itu menyaksikan puluhan ribu pencari suaka bukan warga Mexico dihantar pulang ke sempadan.

Pendatang asing sedang berehat berhampiran pusat imigresen Mexico di Matamoros bersempadan dengan Texas tahun lalu. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Pencari suaka yang terpaksa kekal di Mexico sementara kes mereka diselesaikan di Amerika Syarikat (AS) akan mula diterima masuk ke negara itu mulai minggu depan, lapor AFP.

Menerusi pengumuman pentadbiran Presiden AS, Joe Biden mengarahkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) awal bulan ini untuk mengambil tindakan menamatkan program kontroversi disebut “Kekal di Mexico” yang dilaksanakan bekas presiden Donald Trump sebelum ini.

Program itu menyaksikan puluhan ribu pencari suaka bukan warga Mexico – kebanyakannya dari Amerika Tengah – dihantar pulang ke sempadan sementara menunggu keputusan permohonan suaka mereka, mewujudkan krisis kemanusiaan di kawasan itu, yang diperburuk lagi akibat pandemik Covid-19.

“Mulai 19 Feb, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) akan memulakan fasa pertama program untuk memulihkan pemprosesan yang selamat dan teratur di sempadan barat daya,” kata agensi itu dalam kenyataan.

Katanya, kira-kira 25,000 kes aktif dilaporkan dan calon akan diuji terlebih dahulu.

Sekurang-kurangnya 70,000 orang dihantar pulang ke Mexico bawah perjanjian Jan 2019 itu, apabila program berkenaan mula dilaksanakan, hingga Dis 2020, menurut NGO Majlis Imigresen Amerika.

Pihak berkuasa AS menekankan mereka bekerjasama rapat dengan kerajaan Mexico dan dengan organisasi antarabangsa serta NGO di sempadan terbabit.

Selepas Biden memegang jawatan pada 20 Jan lalu, pentadbiran beliau mengumumkan akan menukar langkah paling kontroversi dan mewujudkan pasukan petugas untuk menyatukan semula ahli keluarga yang masih terpisah akibat dasar yang disifatkan pentadbirannya sebagai “memalukan negara”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.