China sekat siaran BBC World News

China sekat siaran BBC World News

Penyiar Britain itu dituduh melanggar garis panduan dalam laporannya mengenai penganiayaan terhadap etnik minoriti Uighur.

Siaran BBC telah disekat di China kerana dituduh melanggar garis panduan penyiaran. (Gambar AFP)
BEIJING:
Pengawal selia penyiaran China telah menyekat siaran BBC World News, dengan menuduhnya melanggar garis panduan selepas penyiaran laporan kontroversi mengenai penganiayaan terhadap golongan minoriti Uighur di negara itu.

Keputusan itu diambil semalam, hanya beberapa hari selepas pengawal selia Britain membatalkan lesen penyiar China CGTN kerana melanggar undang-undang United Kingdom mengenai pemilikan kerajaan, dan menimbulkan kemarahan London berkenaan penapisan.

Langkah itu tidak membantu hubungan antara kedua-dua negara yang semakin tegang akibat pengenalan undang-undang keselamatan oleh China di bekas jajahan Britain, Hong Kong.

Britain juga menyekat kumpulan telekomunikasi China Huawei daripada terlibat dalam rangkaian 5Gnya setelah Amerika Syarikat menimbulkan kebimbangan mengenai pengintipan.

Dalam kenyataan semalam, Pentadbiran Radio dan Televisyen Kebangsaan Beijing berkata, laporan BBC World News mengenai China didapati “melanggar dengan serius” garis panduan penyiaran.

Itu termasuk “syarat bahawa berita harus benar dan adil” dan tidak “mengancam kepentingan China”.

Pihak pentadbir berkata, ia “tidak membenarkan BBC untuk terus bersiaran di China, dan tidak menerima permohonan tahunan baharu untuk penyiaran”, keputusan yang disifatkan BBC sebagai “mengecewakan”.

“BBC adalah penyiar berita antarabangsa yang paling dipercayai di dunia dan melaporkan kisah dari seluruh dunia dengan adil, tidak berat sebelah dan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” kata seorang jurucakap BBC.

Setiausaha Luar UK Dominic Raab menyifatkan sekatan itu sebagai “penyekatan kebebasan media yang tidak boleh diterima”.

Di Washington, jurucakap Jabatan Negara Ned Price mengecam sekatan tersebut.

“Kami meminta (China) dan negara-negara lain yang mempunyai kuasa autoritarian terhadap populasi mereka untuk membenarkan akses penuh kepada Internet dan media,” kata Price kepada wartawan.

Anggota parlimen Britain, Tom Tugendhat, yang menubuhkan Kumpulan Penyelidik China, menyifatkan tindakan itu sebagai “dikesali tetapi tidak mengejutkan”.

“Pendekatan (Parti Komunis China) yang semakin agresif terhadap media asing, sambil mempromosikan media milik negara sendiri di seluruh dunia, adalah isu yang perlu diteliti lebih jauh,” kata beliau.

BBC telah menayangkan sebuah dokumentari yang menuduh China menyembunyikan asal usul wabak Covid-19 di sekitar bandar Wuhan pada akhir 2019.

Pada 3 Feb, BBC juga telah menyiarkan laporannya yang memperincikan penyeksaan dan keganasan seksual yang mengerikan terhadap wanita Uighur di kem-kem China.

Kementerian Luar China menggelar siasatan BBC sebagai “palsu”.

China minggu lalu menyifatkan keputusan pengawal selia Britain Ofcom untuk menyekat CGTN daripada bersiaran adalah berdasarkan “prasangka ideologi dan alasan politik”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.