
Pasukan yang terdiri daripada pakar antarabangsa itu bersetuju virus itu mungkin berpindah daripada kelawar ke spesis haiwan yang tidak diketahui sebelum menular kepada manusia.
Pasukan itu juga membuat kesimpulan bahawa “sangat tidak mungkin” virus itu berpunca dari makmal berkeselamatan tinggi di pusat bandar Wuhan, yang tampaknya menyangkal sejumlah teori yang mengaitkan institusi virologi di bandar itu dengan wabak berkenaan.
Setelah misi hampir sebulan itu berakhir, berikut adalah lima persoalan yang timbul mengenai asal usul virus itu:
Sumber haiwan
Pakar berkata, ujian dilakukan ke atas puluhan ribu sampel daripada haiwan liar, ternakan dan domestik di seluruh China – tetapi tidak ada sampel yang mengandungi virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19.
Bagaimanapun, ahli virologi Belanda dan ahli pasukan WHO, Marion Koopmans berkata, spesis yang lebih mudah dijangkiti virus – termasuk tikus buluh, “badger” dan arnab – dijual di pasar Huanan Wuhan, lokasi kluster awal virus, dan boleh menjadi titik permulaan siasatan pengesanan balik.
Daszak, seorang ahli zoologi Britain, juga berkata, virus kelawar baharu yang ditemui di Thailand dan Kemboja “mengalihkan fokus kita ke Asia Tenggara”.
“Saya rasa satu hari kita akan jumpa (kumpulan) itu, mungkin memerlukan sedikit masa … tetapi ia akan terbongkar tanpa keraguan,” katanya kepada wartawan.
Data mentah
Terdapat kebimbangan mengenai akses saintis kepada data di China, seiring tuduhan bahawa Beijing meremehkan tanda bahaya awal wabak di Wuhan pada akhir 2019.
Ahli pasukan WHO Thea Kolsen Fischer, seorang ahli epidemiologi dari Denmark, berkata, selepas taklimat, pasukan WHO tidak diberi data mentah, sebaliknya bergantung kepada analisis awal saintis China.
Dalam kebanyakan kes katanya, sudah menjadi kebiasaan untuk pihak luar mendapat akses kepada “data terkumpul”.
Ahli pasukan WHO berkata, mereka diberi akses penuh ke laman web dan individu yang mereka mahu kunjungi.
Penyebaran melalui rantaian sejuk
Beijing berulang kali mengemukakan teori bahawa virus itu dibawa ke China melalui pembungkusan produk rantaian sejuk seperti makanan laut beku yang diimport dan mengaitkannya dengan wabak domestik baru-baru ini.
Ketua Program Kecemasan WHO Mike Ryan sebelumnya berkata, “tidak ada bukti bahawa makanan atau rantaian makanan terlibat dalam penyebaran (virus)”.
Tetapi di China, misi WHO nampaknya memberi sedikit penekanan kepada teori ini.
Ketua misi China Liang Wannian berkata, virus itu dapat “mengembara” dalam jarak yang jauh di atas permukaan produk rantaian sejuk, dan sampel persekitaran dari pasar Huanan – yang menjual haiwan liar dan makanan laut beku – menunjukkan “pencemaran meluas” oleh virus.
Namun ketua pasukan WHO Peter Ben Embarek berkata, masih belum jelas sama ada virus itu dapat tersebar kepada manusia melalui permukaan produk rantaian sejuk yang tercemar.
Asal usul di luar China?
Beijing berulang kali meminta WHO melancarkan misi pengesanan asal usul di Amerika Syarikat, dan pegawai Kementerian Luar Negeri memfokuskan perhatian kepada teori konspirasi mengenai kebocoran virus dari makmal penyelidikan kuman tentera AS.
Menangkis kritikan antarabangsa terhadap pengendalian awalnya terhadap wabak, China juga meningkatkan kajian yang mencadangkan beberapa kes Covid-19 muncul di Itali dan negara lain pada akhir 2019.
Ketika menerbitkan kesimpulan laporan itu, Koopmans berkata, kajian ini “tidak memberikan bukti lengkap mengenai peredaran awal” di luar China pada awal Dis.
Namun, beliaumengakui bahawa pakar “harus benar-benar pergi mencari bukti penularan awal”.
Apakah seterusnya?
Koopmans berkata, ladang yang membekalkan haiwan liar ke pasar Huanan Wuhan perlu diselidiki dengan lebih lanjut.
Selain mengambil sampel daripada lebih banyak kumpulan haiwan liar, terutamanya kelawar, di dalam dan di luar China, Ben Embarek mencadangkan pengujian semula sampel menggunakan “pendekatan baharu” untuk ujian darah dan mencari lebih banyak kes awal yang tidak dapat dikesan di Wuhan pada Dis 2019.
Sementara itu, China ingin tahap penyiasatan asal virus berikutnya dilaksanakan di negara lain.