Tentera Myanmar isytihar darurat 1 tahun setelah rampas kuasa

Tentera Myanmar isytihar darurat 1 tahun setelah rampas kuasa

Rampasan kuasa berlaku susulan meningkatnya ketegangan antara kerajaan sivil dan tentera kerana pertikaian mengenai pilihan raya Nov lalu.

Pemimpin de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi, pernah menjalani tahanan di rumah selama 20 tahun atas peranannya sebagai pemimpin pembangkang sebelum dibebaskan oleh tentera pada 2010. (Gambar AP)
YANGON:
Tentera Myanmar merampas kuasa hari ini, menahan pemimpin de facto, Aung San Suu Kyi, dan mengisytiharkan mereka menguasai negara selama satu tahun dalam keadaan darurat.

Campur tangan itu berlaku setelah beberapa minggu meningkatnya ketegangan antara tentera, yang memerintah selama hampir lima dekad, dan kerajaan sivil atas tuduhan penipuan dalam pilihan raya Nov lepas.

Tentera minggu lalu memberi isyarat bahawa mereka mungkin merebut kuasa untuk menyelesaikan tuntutan mengenai penyelewengan dalam pilihan raya yang dimenangi dengan mudah oleh parti Suu Kyi, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD).

Suu Kyi dan Presiden Myanmar Win Myint ditahan di ibu negara, Naypyidaw awal pagi tadi, kata jurucakap NLD, Myo Nyunt, kepada AFP, hanya beberapa jam sebelum Parlimen dijadualkan bersambung untuk pertama kalinya sejak pilihan raya.

“Kami dengar mereka ditangkap oleh tentera…Dengan situasi yang sedang kita lihat berlaku, kita harus menganggap bahawa tentera sedang melakukan rampasan kuasa,” katanya.

Tentera kemudian mengisytiharkan darurat selama setahun melalui saluran televisyennya.

Di Yangon, bekas ibu negara yang masih merupakan pusat perdagangan Myanmar, pasukan tentera merampas dewan bandar raya, menurut seorang wartawan AFP.

Di tempat lain, ketua menteri Karen dan beberapa menteri wilayah lain juga ditahan, menurut sumber parti, pada hari Parlimen baru akan mengadakan sesi pertamanya.

Perkembangan tersebut mencetuskan tindak balas pantas AS dan Australia, dengan keduanya menggesa pembebasan pemimpin NLD yang ditahan dan pemulihan demokrasi.

“AS menentang segala usaha untuk mengubah hasil pilihan raya baru-baru ini atau menyekat peralihan demokratik Myanmar, dan (AS) akan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab sekiranya langkah ini tidak diundurkan,” kata jurucakap Rumah Putih, Jen Psaki, dalam kenyataan.

Australia berkata, tentera “sekali lagi cuba merebut kawalan” ke atas Myanmar.

“Kami meminta tentera menghormati undang-undang, menyelesaikan perselisihan melalui mekanisme yang sah dan segera membebaskan semua pemimpin sivil dan pihak lain yang ditahan secara tidak sah,” kata Menteri Luar Australia, Marise Payne.

Komunikasi terhad

Beberapa jam selepas penangkapan tersebut, rangkaian komunikasi di Myanmar dibatasi, dengan beberapa rangkaian telefon bimbit dimatikan.

NetBlocks, sebuah badan bukan kerajaan yang mengawasi sekatan internet, melaporkan gangguan teruk kepada sambungan web.

Nombor telefon di ibu kota Naypyidaw juga nampaknya tidak dapat dihubungi.

Pilihan raya Myanmar pada Nov adalah pilihan raya demokratik kedua di negara itu sejak ia melepaskan diri daripada cengkaman pemerintahan tentera selama 49 tahun pada 2011.

NLD menyapu bersih pilihan raya tersebut dan berharap untuk memperbaharui kepemimpinan Suu Kyi, 75, dengan penggal lima tahun yang baru.

Tetapi selama berminggu-minggu, tentera merungut bahawa pilihan raya itu penuh dengan penyelewengan dan mendakwa menemui lebih daripada 10 juta penipuan pengundi.

Mereka menuntut suruhanjaya pilihan raya yang dikendalikan kerajaan mendedahkan daftar pemilih untuk tujuan semakan silang, namun ia belum dilakukan suruhanjaya itu.

Minggu lalu, Panglima Angkatan Tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing, individu yang boleh dikatakan paling berkuasa dalam negara, berkata, perlembagaan negara 2008 boleh “dibatalkan” dalam keadaan tertentu.

Sebelum ini, Myanmar menyaksikan dua rampasan kuasa sejak kemerdekaan daripada Britain pada 1948, iaitu pada 1962 dan 1988.

Suu Kyi – bekas ikon demokrasi dan pemenang Hadiah Nobel Keamanan, yang imejnya di seluruh dunia sudah semakin goyah akibat krisis Rohingya – tetap menjadi tokoh yang sangat popular.

Beliau pernah menjalani tahanan di rumah selama 20 tahun atas peranannya sebagai pemimpin pembangkang sebelum dibebaskan oleh tentera pada 2010.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.