Artikel pendakwaan disampaikan ke Senat, mula proses perbicaraan Trump

Artikel pendakwaan disampaikan ke Senat, mula proses perbicaraan Trump

Perbicaraan Senat bekas presiden Amerika Syarikat itu dijadualkan bermula dalam minggu kedua Februari.

Pengurus-pengurus pendakwaan Dewan Perwakilan menyerahkan artikel pendakwaan terhadap Donald Trump kepada Senat. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Dewan Perwakilan Amerika Syarikat menyampaikan artikel pendakwaan salah guna kuasa kepada Senat semalam yang menuduh Donald Trump menghasut serangan ke atas Capitol, seterusnya memulakan proses untuk perbicaraan pertama kali seumpamanya ke atas seorang bekas presiden.

Sembilan pengurus pendakwaan Dewan Perwakilan tanpa bersuara berjalan melalui dewan-dewan Kongres sama yang ditakluki penyokong Trump pada 6 Jan dan menyerahkan artikel tersebut kepada Senat.

Jamie Raskin, yang mewakili Maryland, kemudian membacakan pertuduhan terhadap Trump di hadapan Senat, di mana Trump terus mendapat sokongan kuat daripada senator Republikan.

Perbicaraan Senat terhadap Trump – kali kedua buatnya – yang dikemukakan oleh Dewan bermajoriti Demokrat pada 13 Jan atas salah guna kuasa, akan bermula dalam minggu kedua bulan Februari.

Pemimpin Majoriti Senat Demokrat Chuck Schumer berkata, 100 anggota Senat, yang akan bertindak sebagai juri, mengangkat sumpah hari ini dan saman telah dikeluarkan kepada bekas presiden itu.

Ahli-ahli Demokrat dan Republikan bersetuju untuk menunda permulaan perbicaraan selama dua minggu untuk membolehkan Trump mempersiapkan pembelaannya terhadap tuduhan “menghasut pemberontakan”, dan supaya Senat dapat mengesahkan pelantikan Kabinet Presiden Joe Biden.

Ketua Hakim Mahkamah Agung AS John Roberts menghakimi perbicaraan Senat kali pertama Trump, yang berakhir dengan pembebasannya. Perbicaraan kali ini akan dipengerusikan presiden Senat pro tempore iaitu senator kanan parti dengan majoriti di Senat – kini anggota Demokrat, Patrick Leahy, 80, yang dilantik ke Senat pada tahun 1974.

10 wakil Republikan bergabung dengan rakan-rakan Demokrat mereka di Dewan Perwakilan untuk mengundi mendakwa Trump atas salah guna kuasa kerana menghasut orang ramai menyerang Capitol ketika Kongres sedang mengesahkan kemenangan Biden dalam pilihan raya 3 Nov.

Lima orang terkorban dalam insiden itu, termasuk seorang polis dan penunjuk perasaan yang ditembak oleh polis Capitol.

Trump membuat dakwaan palsu berulang kali yang dia telah memenangi pilihan raya dan menyeru penyokongnya datang ke Washington pada 6 Jan untuk menunjuk perasaan pada masa yang sama Kongres mengesahkan kemenangan Biden.

Berikutan ucapan Trump, ribuan penyokongnya menyerbu Capitol dan bertempur dengan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.