
JINAN: Pasukan penyelamat mengeluarkan 10 mayat pelombong yang maut dalam letupan lombong emas di wilayah Shandong, timur China, lapor Agensi Berita Xinhua.
Dalam kejadian 10 Jan lalu di Qixia, bandar Yantai itu, 22 pelombong terperangkap di bawah runtuhan lombong berkenaan.
Menurut taklimat media pada Isnin, 11 pelombong berjaya diselamatkan pada Ahad, selepas terperangkap selama dua minggu dan seorang lagi masih hilang.
“Kami akan terus mencari pelombong yang hilang,” kata Datuk Bandar Yantai, Chen Fei sambil menambah kerja menyelamat mengalami kesukaran berikutan air bawah tanah yang dalam.
Katanya, 11 pelombong yang diselamatkan itu sedang menerima rawatan dan ujian DNA giat dilakukan untuk mengenal pasti identiti mangsa korban.
Punca kejadian masih disiasat.