Bimbang rusuhan, YouTube sekat seminggu lagi saluran Trump

Bimbang rusuhan, YouTube sekat seminggu lagi saluran Trump

Berikutan kebimbangan potensi berlaku keganasan, saluran Donald J Trump disekat daripada memuat naik video baharu atau siaran langsung selama minimum tujuh hari.

Saluran YouTube Donald J Trump disekat daripada memuat naik video baharu atau siaran langsung selama minimum tujuh hari. (Gambar Pixabay)
WASHINGTON:
YouTube menyekat muat naik dan komen di saluran Presiden Donald Trump sekurang-kurangnya seminggu lagi ekoran kebimbangan keganasan menjelang pelantikan penggantinya Joe Biden, lapor Agensi Berita Sputnik.

“Berikutan kebimbangan potensi berlaku keganasan, saluran Donald J Trump disekat daripada memuat naik video baharu atau siaran langsung selama minimum tujuh hari.

“Seperti yang telah kami kongsi sebelum ini, komen akan terus dinyahaktif daripada video di saluran itu,” kata syarikat induk YouTube, Google, dalam kenyataan.

Saluran YouTube Trump disekat daripada memuat naik kandungan dan interaksi baharu dengan penonton selepas rusuhan 6 Jan lalu di Capitol Hill, Amerika Syarikat (AS), apabila penyokongnya menyerbu bangunan dewan perundangan persekutuan dalam usaha menghalang Perwakilan mengesahkan kemenangan pilihan raya Biden.

Trump dituduh menghasut kerana ucapan berapinya berhampiran Capitol Hill, namun menafikan tuduhan tersebut. Ia mengakibatkan rusuhan dan menyebabkan lima kematian.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) memberi amaran minggu lalu mengenai tunjuk perasaan bersenjata yang dirancang pada upacara pelantikan Biden di Washington, pada Rabu dan di semua 50 negeri AS.

Ribuan pasukan pengawal negara dan penguat kuasa undang-undang dikerah untuk mengawal ibu kota.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.