Taiwan batal sambutan tahun baharu

Taiwan batal sambutan tahun baharu

Festival tanglung disambut sejak tiga dekad lalu dibatalkan selepas jangkitan bermula di hospital kerajaan.

Wabak menular selepas seorang doktor dijangkiti pesakit yang pulang dari luar negara. (Gambar AP)
TAIPEI:
Taiwan membatalkan festival tanglung Tahun Baharu Cina terbesarnya buat kali pertama sejak sambutan itu pertama kali diadakan, tiga dekad lalu, susulan pihak berkuasa bergegas mengekang kluster Covid-19 di kawasan yang sebelum ini bebas pandemik berkenaan.

Festival Tanglung Taiwan diadakan di lokasi berbeza setiap tahun dan tahun ini sepatutnya diadakan di bandar Hsinchu, bulan depan.

Malangnya, acara sejak 30 tahun lalu itu yang lazimnya menerima jutaan pengunjung, terpaksa dibatalkan selepas empat kes virus korona dikaitkan dengan meletusnya wabak di satu hospital kerajaan.

“Sukar untuk mengawal orang ramai di kawasan terbuka di bandar ini,” kata setiausaha agung kabinet, Li Ming-yen kepada wartawan.

Festival tanglung pada skala kecil dijadualkan di seluruh Taiwan turut dibatalkan, termasuk di Taoyuan, di mana kluster jangkitan turut dikesan baru-baru ini.

Taiwan dipuji kerana tindak balasnya dalam pandemik ini dengan kurang daripada 870 kes dan tujuh kematian setakat ini.

Kejayaannya dikaitkan antara lain dengan keputusannya menghentikan kemasukan asing dan meletakkan langkah kuarantin tegas terhadap mereka yang masih boleh mengembara ke pulau berkenaan.

Pada satu ketika, Taiwan merekodkan 253 hari berturut-turut tanpa sebarang jangkitan tempatan.

Namun penularan wabak di sebuah hospital yang dikesan minggu lalu selepas seorang doktor disahkan positif Covid-19 selepas merawat pesakit yang pulang dari luar negara, mencetuskan kebimbangan.

“Jumlah kes sah positif lebih tinggi daripada jangkaan kita. Kita perlu terus berusaha keras dan mengingati pengorbanan pekerja perubatan kita,” kata menteri kesihatan Chen Shih-chung.

Dalam dua minggu ini lima lagi doktor dan jururawat serta dua anggota keluarga mereka dan seorang rakyat Vietnam dijangkiti virus itu di dalam dan luar hospital berkenaan, menjadikan jangkitan daripada kluster itu sembilan orang.

Seorang daripada pesakit terbaru adalah anak perempuan jururawat bertugas yang bekerja di restoran makanan segera Mos Burger di sebuah stesen kereta api, lapor pusat kawalan epidemik (CECC).

Hospital Umum Taoyuan akan memindahkan sebahagian daripada 220 pesakit untuk mengurangkan risiko jangkitan dan meredakan beban kakitangannya, kata Chen.

Setakat ini 353 kakitangan hospital telah memulakan kuarantin dua minggu dan pihak berkuasa kesihatan sedang mengesan dan menguji semua kontak kes baharu, kata CECC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.