
Park menjadi pemimpin dilantik secara demokrasi di negara itu yang pertama disingkirkan apabila pada 2017 mahkamah perlembagaan mengekalkan undian Parlimen terhadapnya bagi skandal yang turut mengakibatkan dua ketua konglomerat dipenjara.
Anak kepada pemimpin diktator tentera itu mengangkat sumpah pada 2013 sebagai presiden wanita pertama Korea Selatan. Beliau digulingkan selepas didapati bersalah bersubahat dengan rakan baiknya untuk menerima puluhan bilion won daripada konglomerat utama bagi membantu keluarganya serta mendanai yayasan tidak berasaskan keuntungan miliknya.
Kesnya didengar di pelbagai mahkamah berbeza termasuk perbicaraan semula pada Julai tahun lalu.
Bagaimanapun, hari ini keputusan mahkamah agung untuk mengekalkan hukuman penjara 20 tahun dan denda 18 bilion won terhadapnya mengakhiri semua proses rayuannya.
Park, 68, yang dipenjara sejak 31 Mac 2017 menafikan semua tuduhan terhadapnya. Beliau tidak hadir di mahkamah untuk prosiding hari ini.
Bagaimanapun, keputusan hari ini membuka ruang untuknya diberikan pengampunan oleh presiden, sesuatu yang digesa oleh penyokongnya termasuk dalam kalangan ahli politik.
Disoal mengenai pengampunan untuk Park, pegawai di kediaman presiden, Istana Biru, berkata tidak wajar untuk menimbulkan isu pengampunan begitu cepat selepas keputusan mahkamah, sebaliknya kes terhadap Park sepatutnya menjadi pengajaran bersejarah.
Seorang pembantu kanan Presiden Moon Jae-in berkata presiden akan membuat keputusan yang menggambarkan kehendak rakyat berhubung isu pengampunan Park.
Sementara itu, tinjauan dikendalikan Realmeter minggu lalu mendapati 47.7% responden mahukan pengampunan untuk Park manakala 48% menolaknya.
Naib Pengerusi Samsung Electronics Co Ltd, Jay Y Lee, menghadapi keputusan mahkamah terakhir Isnin ini yang akan menentukan sama ada beliau akan kembali menjalani hukuman penjara bagi tuduhan merasuah rakan Park.