Banjir di selatan Thailand korban 3 nyawa, hampir 60,000 keluarga terjejas

Banjir di selatan Thailand korban 3 nyawa, hampir 60,000 keluarga terjejas

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand berkata, hujan berterusan menyebabkan 58,497 keluarga di 32 daerah dilanda banjir.

Narathiwat merupakan wilayah paling teruk terjejas banjir di selatan Thailand dengan 448 kampung dinaiki air dan lebih 25,211 keluarga terjejas. (Gambar Bernama)
PATTANI:
Banjir buruk susulan hujan lebat di empat wilayah di selatan Thailand, iaitu Narathiwat, Pattani, Yala dan Songkhla mengorbankan tiga nyawa dan menjejaskan hampir 60,000 keluarga.

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana dalam kenyataan memaklumkan hujan berterusan menyebabkan 58,497 keluarga di 32 daerah dilanda banjir.

“Sehingga hari ini, tiga dilaporkan maut manakala seorang lagi dilaporkan hilang,” katanya.

Narathiwat merupakan wilayah paling teruk terjejas dengan 448 kampung dilanda banjir dan lebih 25,211 keluarga terjejas, manakala Yala (15,229 keluarga), Pattani (10,508 keluarga) dan Songkhla (7,549 keluarga).

Di Pattani, beberapa kawasan rendah ditenggelami air berikutan fenomena air pasang dan pelepasan air dari Empangan Bang Lang di Yala.

Tinjauan mendapati beberapa kawasan di bandar Pattani dinaiki air dan pihak berkuasa tempatan mempergiatkan usaha mengepam air untuk mengeluarkan air banjir yang bertakung.

Sebelum ini, pihak berkuasa tempatan mengumumkan untuk melepaskan air Empangan Bang Lang bagi mengekalkan paras air yang selamat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.