Indonesia pertingkat usaha cari pesawat Sriwijaya Air di perairan Kepulauan Seribu

Indonesia pertingkat usaha cari pesawat Sriwijaya Air di perairan Kepulauan Seribu

Pasukan mencari pelbagai agensi memulakan operasi 6 pagi tadi bagi mengesan bangkai pesawat di perairan berkenaan.

Pesawat Boeing 737-500 Sriwijaya Air yang membawa 62 penumpang dan anak kapal dilaporkan terputus hubungan selepas berlepas dari Jakarta menuju ke Pontianak petang semalam. (Gambar AP)
JAKARTA:
Pihak berkuasa Indonesia hari ini meningkatkan operasi mencari pesawat Sriwijaya Air yang disahkan terhempas di perairan Kepulauan Seribu semalam.

Kementerian Perhubungan, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS), polis (Polri), tentera Indonesia (TNI) dan agensi lain berkaitan dalam kenyataan bersama memaklumkan operasi pencarian bermula 6 pagi tadi adalah bagi mencari bangkai pesawat di perairan berkenaan.

“Data jumlah personel yang terlibat dalam operasi setakat pagi ini sebanyak 326 personel, jumlah kapal 38 unit, dua helikopter dan dua pesawat udara, masing-masing dari BASARNAS, TNI, Polri, Kementerian Perhubungan, Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) dan lain-lain.

“Kapal-kapal tersebut dilengkapi dengan peralatan seperti ‘multibeam echosounder’ dan ‘remotely operated vehicle’ (ROV) untuk mengesan dan mencari bangkai pesawat, selain pasukan penyelam,” menurut kenyataan itu.

Pesawat jenis Boeing 737-500 yang membawa 62 penumpang dan anak kapal itu dilaporkan terputus hubungan selepas berlepas dari Jakarta menuju ke Pontianak pada 2.36 petang waktu Indonesia Barat, sebelum disahkan terhempas di perairan Kepulauan Seribu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.