Covid-19: Rakyat Malaysia antara 4 kes import bergejala di Singapura

Covid-19: Rakyat Malaysia antara 4 kes import bergejala di Singapura

Wanita berusia 20 tahun itu merupakan seorang pemegang pas kerja yang tiba dari Malaysia.

Singapura mengesan empat kes import bergelaja Covid-19 melibatkan dua kes dengan sejarah perjalanan ke India dan seorang ke UK serta pemegang pas kerja rakyat Malaysia.
SINGAPURA:
Seorang wanita berusia 20 tahun merupakan salah seorang daripada kes import bergejala di Singapura pada Sabtu, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu.

Dilabel sebagai kes 59,117, wanita tersebut merupakan seorang pemegang pas kerja yang tiba dari Malaysia, menurut kenyataan MOH dalam data penuh yang dikeluarkan lewat malam tadi.

Tiga lagi kes import bergelaja melibatkan dua kes dengan sejarah perjalanan ke India dan seorang ke UK.

Pada tengah hari Sabtu, negara itu melaporkan 29 kes baharu, kesemuanya kes import dan tidak melibatkan komuniti dan asrama pekerja, menjadikan keseluruhan 58,865 kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, 25 merupakan kes tidak bergejala dan dikesan menerusi saringan aktif dan pemantauan kementerian itu.

MOH berkata, ia juga sedang menyiasat tiga kes Covid-19 yang bekerja di Crowne Plaza Lapangan Terbang Changi, yang turut melibatkan kes 59,059, iaitu wanita Malaysia berusia 43 tahun.

“Daripada siasatan awal, kami tidak menolak kemungkinan jangkitan boleh berlaku di hotel tersebut,” menurut kementerian itu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, MOH berkata, Crowne Plaza Lapangan Terbang Changi diminta ditutup selama 14 hari hingga 21 Jan, termasuk restoran dan kawasan acara.

Kementerian itu berkata, ia melengkapkan operasi ujian ke atas 234 kakitangan yang bekerja di hotel itu untuk Covid-19.

“Semua keputusan menunjukkan negatif jangkitan Covid-19,” menurut MOH.

Singapura ketika ini mempunyai tiga kluster dengan satu berkaitan New Ocean 6, sebuah kapal tangki dikendalikan Palmstone Tankers & Trdg Pte Ltd di pelabuhan Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.