Penyokong Trump serbu Capitol Hill, sesi undian elektoral pilihan raya AS ditangguh

Penyokong Trump serbu Capitol Hill, sesi undian elektoral pilihan raya AS ditangguh

Rusuhan bertujuan memaksa Kongres membatalkan kekalahan pemilihan Trump dalam pilihan raya AS 3 Nov lalu.

Penyokong Trump merusuh dan menyerbu bangunan Capitol. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Ratusan penyokong Presiden Donald Trump merusuh dengan menyerbu masuk bangunan Capitol Hill pada Rabu, lapor Reuters.

Ia bertujuan memaksa Kongres membatalkan kekalahan pemilihan Trump dalam pilihan raya Amerika Syarikat (AS) pada 3 Nov lalu yang memberikan kemenangan kepada pencabarnya daripada parti Demokrat, Joe Biden.

Tunjuk perasaan yang mencabar keputusan pilihan raya di beberapa negeri itu memaksa debat undian elektoral ditangguhkan.

Kongres dan Senat bersidang untuk mengesahkan kemenangan Biden.

Ia bagaimanapun tidak dapat diteruskan selepas penunjuk perasaan mula memasuki kawasan larangan di dalam dewan.

Dalam pada itu, polis Capitol Hill mengarahkan pejabat Kongres Amerika Syarikat (AS) dikosongkan berikutan tindakan penyokong Trump melanggar sekatan keselamatan di tangga bangunan itu.

Kakitangan Kongres meninggalkan bangunan Capitol dan pejabat lain di situ.

Dalam perkembangan berkaitan, Biden, yang akan mengangkat sumpah sebagai presiden AS baharu pada 20 Jan ini, dilaporkan mengecam rusuhan itu dan menyifatkan perbuatan penyokong Trump sebagai “pemberontakan”.

Biden juga menuntut Trump segera meminta penyokongnya menamatkan rusuhan itu.

Katanya, protes itu tidak mewakili pendapat rakyat Amerika secara keseluruhan.

Seorang wanita dilaporkan kritikal selepas ditembak di dada di pekarangan Capitol.

Lima individu, termasuk anggota penguat kuasa dibawa ke hospital, menurut pihak berkuasa kecemasan DC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.